suria

“Kami merasai denyut nadi kehidupan anda” - Azmin tolak politik kepartian yang sempit, ulangi sokongan terhadap Tun M

Azmin mengulangi pendiriannya menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

KAMI mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia.

Demikian sebahagian posting kenyataan bersama yang dikongsi bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi laman Facebook pada Rabu.

Menurut Azmin, dia melihat rakyat Malaysia cukup tenang dalam memerhatikan perkembangan politik yang berlaku dalam negara.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kita akan teruskan perjuangan...” - Azmin

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai 11 ahli PKR umum keluar parti

"Rakyat Malaysia menampilkan kematangannya dalam mengharungi arus perkembangannya.

"Meskipun anda mengikuti peristiwa ini dengan teliti dan ghairah melalui media konvensional dan media sosial, anda terus tekun menjalankan tanggungjawab... terus ke pejabat, ke kilang, ke ladang dan ke laut seperti biasa," ujarnya.

Menurut bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu lagi, dia juga memahami apa yang dilalui rakyat hari ini.

Azmin mengulangi sokongannya kepada Dr Mahathir.

Malah katanya, apa yang dimahukan rakyat ialah sebuah kerajaan yang stabil serta mampu menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

"Kami amat terkesan dengan sikap berimbang dan saksama rakyat Malaysia. Kami merasai denyut nadi kehidupan anda. Aspirasi anda akan kami penuhi.

"Setelah rakyat bangkit menumpaskan kleptokrasi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, mereka mahukan sebuah kerajaan yang stabil.

"Untuk memenuhi aspirasi ini ahli-ahli politik perlu bangkit meninggalkan politik kepartian yang sempit. Aspirasi rakyat perlu mengatasi kepentingan sempit kelompok," ujarnya.

Kenyataan terbahru Azmin disiar menerusi Facebook pada Rabu.

Tambah Azmin lagi, dia menyokong hasrat rekonsiliasi nasional yang memberikan keutamaan kepada aspirasi rakyat serta agenda negara.

Dalam kenyataan sama, Azmin sekali lagi mengulangi sokongan tidak berbelah bahaginya buat Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Rekonsiliasi nasional akan terlaksana di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama dukungan semua pihak yang mahukan Malaysia stabil dan terus maju menangani cabaran bangsa.

"Kami mengulangi sokongan penuh terhadap Dr Mahathir sebagai perdana menteri sepenggal penuh untuk melaksanakan rekonsiliasi nasional ini," ujarnya.

Azmin, Dr Mahathir, Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain