suria

Akta TCM Sedia Dibentang Di Parlimen Pada Jun - Liow

KUCHING: Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) kini sudah sedia untuk dibentang di Parlimen selewat-lewatnya Jun tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai di sini.

Beliau berkata kementerian yakin dengan adanya akta tersebut pengamal perbuatan tradisional di negara ini dapat mematuhi disiplin perubatan dengan lebih profesional selain melindungi hak pesakit yang menggunakan rawatan tersebut.

"Selain untuk melindungi hak pesakit yang menggunakan perkhidmatan perubatan tradisional, akta tersebut juga untuk menjamin pengamal TCM mematuhi undang-undang perubatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan TCM antarabangsa di sini Selasa.

Katanya setakat ini 10 buah hospital kerajaan di seluruh negara mempunyai unit TCM yang berdaftar dan diiktiraf pihak kementerian.

Menurutnya pelaksanaan akta TCM itu juga akan membantu pihak kementerian membuat lebih banyak kajian dan pembangunan (R&D) berkaitan cara perubatan tradisional di negara ini.

Sementara itu, bercakap tentang penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sarawak beliau berkata walaupun jumlah kes kini sudah menurun namun pihak kementerian akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata ketika ini hanya sekitar 261 kes dilaporkan dalam tempoh seminggu sejak 17 minggu kes tersebut dilaporkan.

"Keadaan kes HFMD di Sarawak sudah beransur pulih, namun pihak kementerian kesihatan ingin mengingatkan ibu bapa agar melapor segera di hospital dan klinik berdekatan jika anak mereka menunjukkan tanda tanda dijangkiti HFMD," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain