suria

Wanita Muda Dalangi Operasi Pengedaran DVD Cetak Rompak

ALOR SETAR: Seorang wanita muda berusia 21 tahun yang menjadikan sebuah rumah teres setingkat di sini sebagai pusat pengedaran cakera video digital (DVD) cetak rompak terbongkar apabila diserbu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Kedah/Perlis semalam.

Dalam serbuan pukul 4.05 petang itu, pegawai Bahagian Kawalan Filem dan Penguatkuasaan KDN cawangan itu merampas 22,626 keping DVD cetak rompak filem Melayu, Cina dan Inggeris bernilai RM113,130.

Ketua cawangan bahagian itu, Zainal Abidin Othman berkata dalam operasi itu, pihaknya telah menahan wanita muda itu yang dipercayai dalang serta dua pekerjanya iaitu seorang wanita dan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 20-an.

"Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek sedang membungkus DVD pelbagai tajuk tanpa sijil perakuan B untuk dipasarkan di sekitar bandar ini. Ini merupakan rampasan terbesar untuk tahun ini," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Katanya hasil siasatan mendapati mereka menjalankan kegiatan haram di rumah berkenaan sejak dua bulan lalu dan pihaknya menjalankan intipan sejak sebulan lalu selepas mendapat maklumat orang awam.

Zainal Abidin berkata rumah berkenaan dijadikan stor menyimpan DVD haram sebelum bekalan dipasarkan kepada peniaga pasar malam di sekitar bandar itu.

"Kes ini disiasat dibawah Seksyen 6(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun," katanya.

Katanya beliau percaya masih ada lagi sindiket lain yang menjalankan kegiatan yang sama kerana pihaknya mendapati masih banyak DVD yang tidak mempunyai sijil perakuan B dijual di pasar-pasar malam di sekitar bandar itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain