suria

Akar Kayu Terbiar 'Bertukar' Jadi Perabot Unik

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai yang tidak menyangka akar kayu mati yang terbiar di dalam hutan boleh 'bertukar' menjadi set perabot perhiasan unik dan cantik.

Idea kreatif itu dihasilkan seorang usahawan tempatan dari Sarawak, Norazlan Mohd Abdul Rus, 39, yang berjaya menggunakan akar pokok kayu 'Belian' atau nama saintifiknya 'Eusideroxylon zwageri' sebagai bahan utama dalam pembikinan produk kayu termasuk meja, kerusi rehat dan aksesori perhiasan rumah.

"Idea membuat perabot menggunakan kayu ini timbul apabila saya sering melihat akar pokok ini terbiar begitu sahaja sedangkan ia mempunyai struktur yang kukuh dan ini membuatkan saya terfikir untuk menghasilkan sesuatu daripadanya," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau menjelaskan tidak banyak perubahan yang dilakukan dalam mengubah akar kayu tersebut menjadi produk dan beliau akan cuba mengekalkan bentuk asli kayu itu yang unik serta lebih menonjol berbanding kayu jenis lain.

"Walaupun produk tersebut hanya mengambil masa yang singkat untuk disiapkan, proses mencari idea untuk menukarnya menjadi produk kadangkala memakan masa sehingga enam bulan lamanya.

"...dan bukanlah mudah untuk mengubah kayu terbiar menjadi produk yang boleh memberi fungsi dan ini memerlukan saya berfikir secara kreatif dan kritis dalam menghasilkan produk yang terbaik serta berkualiti kepada pengguna," kata Norazlan.

Beliau berkata dahan dan batang pokok itu juga boleh dijadikan perabot seperti meja, penyandar kerusi dan tempat menggantung barang.

"Selain daripada menjadi aksesori kelengkapan rumah, batang kayu ini juga dapat dijadikan pagar dan tiang rumah," katanya.

Norazlan berkata kadar pembesaran kayu Belian memakan masa yang sangat lama iaitu ia hanya tumbuh 0.5cm dalam setahun dan akan mencapai ketinggian 130cm selepas berusia 120 tahun.

"Setiap lekukan yang terbentuk pada kayu memakan masa berpuluh tahun dan disebabkan itu ia dijual pada harga yang tinggi di samping kualitinya yang tinggi dan tahan lasak walaupun terdedah kepada hujan atau panas," jelas Norazlan yang mempunyai pengalaman selama tiga tahun dalam bidang pertukangan kayu.

Norazlan adalah antara 250 usahawan tempatan yang terlibat dalam Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2015 yang diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, di sini, yang berlangsung sehingga Isnin ini.

Lebih 500 produk kraf berasaskan alam semula jadi terdiri daripada pelbagai barangan bakal menjadikan pengunjung 'rambang mata', antaranya aksesori perhiasan dalaman dan luar rumah, perabot kayu dan rotan, dan barangan perhiasan diri.

Perabot, Hiasan, Akar Kayu

Artikel Sebelum

Lelaki Ini Gilakan Botol Coke

Artikel Berikut

Artikel Lain