Anak Melayu Yang Berjaya Perlu Bergabung

Diterbitkan: Isnin, 11 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEJAK lebih dua tahun kebelakangan ini, Perkasa sering muncul dalam berita, menimbulkan kegusaran dan kebimbangan dengan kenyataan-kenyataan dan pendirian yang agresif tentang perkara-perkara yang sensitif, antaranya perkara-perkara berkaitan kaum dan agama di negara ini.

Sesetengah orang bertindak balas dengan membantah kenyataan-kenyataan Perkasa atau malah memperolok-olokkan kumpulan tersebut. Walaupun telah banyak rasa tidak senang yang timbul daripada isu ini, kita belum mendengar sebarang pandangan yang membina daripada kerajaan tentang cara-cara untuk menanganinya. Sikap “tidak apa” dalam keadaan ini boleh dianggap sebagai tidak bertanggungjawab.

Jika kesan politik terlalu besar untuk ditanggung dalam menghadapi Perkasa, saya menyarankan agar pemimpin masyarakat dan pemimpin politik Melayu yang melihat taktik Perkasa sebagai sesuatu yang sia-sia dan berbahaya bekerjasama untuk menyebarkan mesej positif kepada orang Melayu menerusi tindakan dan perbuatan.

Antara mesej yang boleh disebarkan ialah bahawa kesejahteraan Melayu lebih terjamin jika kaum itu mengusahakan perkara-perkara yang boleh mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik. Kerajaan mempunyai pelbagai saluran komunikasi yang boleh dimanfaatkannya untuk menyebarkan mesej ini dengan mudah.

Selain itu, terdapat begitu ramai “Melayu berjaya” (maksud saya, orang Melayu yang telah meraih kejayaan tanpa perlu kepada gelaran kebesaran atau pangsapuri mewah di Knightsbridge) yang boleh menggerakkan dialog jenis baru dengan masyarakat Melayu.

Mereka perlu membentuk barisan dan barangkali bekerjasama dengan kelompok-kelompok lain untuk menyebarkan mesej perubahan positif ke akar umbi. Kisah peribadi mereka dalam usaha mencapai kejayaan – misalnya rintangan yang mereka hadapi dan cara-cara mereka mengatasinya – boleh merangsang khalayak dan memberikan idea baru kepada Melayu muda yang ingin memasuki bidang yang sama.

Berbanding kaedah yang kasar dan menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat, pendekatan yang saya sebutkan di atas akan lebih mendorong kaum Melayu muda untuk mengambil pendekatan positif dan proaktif bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Pengikut-pengikut Perkasa yang banyak itu boleh dibuka pandangan mereka ke arah jalan kejayaan yang tidak memecah-belahkan serta membuka pandangan mereka kepada banyak lagi pilihan yang ada. Sekurang-kurangnya, proses menyebarkan mesej positif kepada orang Melayu ini boleh membantu mereka menghapuskan kemarahan dan ketakutan yang sedang mereka alami.

Tahniah saya ucapkan kepada Perkasa yang berjaya mendapatkan begitu banyak pengikut; malah, kenyataan bahawa ia mempunyai anggota sebanyak hampir 500,000 orang seharusnya mendorong kita untuk memikirkan bagaimana begitu ramai orang Melayu tertarik kepada pertubuhan itu. Pemuda-pemudi Melayu tentunya mempunyai alasan yang kuat untuk menyertai Perkasa.

Namun, apa sekali pun alasannya, mereka perlu diyakinkan bahawa sebenarnya ada jalan penyelesaian yang aman jika kita benar-benar mencarinya. Orang Melayu hanya perlukan sedikit pedoman.

Ada banyak ruang di mana idea-idea yang spesifik dan praktikal boleh diterapkan untuk membantu orang Melayu yang kecewa dengan dasar-dasar kerajaan. Kerajaan dan golongan Melayu yang berjaya perlu menanggapi agenda Perkasa dengan cara menawarkan kaedah dan penyelesaian lain yang lebih relevan dan berguna – serta tidak memudaratkan – berbanding yang ditawarkan Perkasa.

Seperti rakyat Malaysia yang lain, banyak masalah yang mengganggu orang Melayu. Sebahagian mereka tidak puas hati dengan persekitaran kerja mereka dan sebahagian yang lain malah tidak mampu menjana pendapatan yang memadai untuk mereka menjalani kehidupan dengan baik.

Mereka tidak mempunyai kemahiran yang boleh digunakan untuk mengembangkan kerjaya mereka atau tidak mempunyai teladan untuk diikuti.

Jika golongan Melayu yang berjaya boleh bekerjasama untuk menyebarkan mesej yang memberi harapan dan membantu Melayu muda untuk melihat permasalahan dengan cara berbeza, barangkali mereka tidak akan berminat untuk menjadi pengikut Perkasa.

Mungkin benar Perkasa prihatin tentang kebajikan orang Melayu, tetapi terlalu sedikit penyelesaian praktikal yang mampu ditawarkan oleh para pemimpinnya. Dalam pada itu, pendekatan tuding-menuding yang mereka gunakan tidak akan mencegah Melayu daripada terus mundur.

Pendekatan agresif Perkasa akan memberi kesan berpanjangan bukan saja terhadap orang Melayu secara amnya, malah ia akan menjejaskan hubungan antara kaum secara umum, melainkan jika diperkenalkan pemikiran dan idea baru yang positif dan berisi. Inilah yang paling diperlukan dengan segera.

Agenda baru kita ialah untuk meyakinkan anggota-anggota Perkasa bahawa ada “endless possibilities” bagi mereka di negara ini. Dunia luar sedang berubah dengan pantas dan begitu juga negara kita.

Ada banyak perkara yang perlu kita pelajari dan kuasai dalam zaman digital dan ekonomi terbuka ini.

Pergolakan dalaman tidak akan memberi faedah kepada mana-mana pihak. Masyarakat sedang menempuh revolusi yang memerlukan kemahiran baru dan sikap baru. Ke mana saja kita pergi, kita menyaksikan dinamika perubahan.

Minat Melayu terhadap perkembangan ini perlu dipupuk. Biar mereka melengkapkan diri secukupnya untuk merebut kesempatan yang diberikan oleh dunia baru. Jika pendekatan ini diambil, kita perlahan-lahan boleh membuka ruang dialog dengan Perkasa dan kelompok lain dalam negara.

Para pemimpin kita perlu memegang teraju, meninggalkan mantera politik yang tidak lagi sesuai dengan dunia moden dan membawa perubahan sikap pada diri rakyat. Dengan cara ini, kita akan menuai segala ganjaran daripada semua pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan.

Bagaimanapun, para pemimpin sendiri perlu terlebih dahulu merasa yakin dengan mesej baru yang ingin mereka bawa; jika tidak, kredibiliti mereka akan dipertikai dan Perkasa 2.0 akan meraih pengaruh.

> Pandangan yang diungkapkan di sini adalah sepenuhnya milik penulis.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan