Sistem Jalan Darat Yang Semakin Baik Rancakkan Pembangunan Di Igan

Diterbitkan: Khamis, 12 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DARO: Aktiviti ekonomi di pekan Daro dalam bahagian Mukah sejak akhir-akhir ini semakin rancak walaupun pekan itu terletak jauh dari bandar-bandar utama di wilayah tengah Sarawak.

Terletak dalam kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) pekan yang menjadi "jantung" kepada pembangunan kawasan Parlimen Igan ini tidak lagi sepi sebagaimana yang pernah digambarkan oleh mereka yang pernah berkunjung ke situ dua atau tiga tahun lepas.

Kelihatan beberapa lori dan van perdagangan sarat dengan muatan pelbagai barang jualan keluar masuk ke pekan Daro selain beberapa kenderaan persendirian yang sentiasa memenuhi ruang letak kereta di pasar Daro yang juga terkenal dengan ikan terubuk Sungai Lebaan.

Selain itu kemudahan seperti hotel kategori inn juga semakin bertambah sekaligus lebih memudahkan pengunjung atau peniaga dari luar untuk singgah bermalam di pekan Daro. Perubahan yang semakin ketara itu sebenarnya sedikit sebanyak ada kaitan dengan kepesatan pembangunan sistem jalan darat khasnya jalan Sibu-Tanjung Manis-Daro dan jalan Sibu-Mukah-Daro yang semakin baik hari ini.

Hampir setiap kampung ada jalan raya

Anggota Parlimen Igan Datuk Wahab Dollah berkata sebelum adanya jalan darat kawasan ini terutama pekan Daro hanya boleh dihubungi menggunakan jalan sungai dari Sibu yang mengambil masa kira-kira tiga jam menggunakan bot ekspres manakala dua jam menggunakan bot laju.

Wahab berkata sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu sebagai anggota dewan undangan negeri (DUN) Matu-Daro pada tahun 1983 hingga 2001 beliau telah berazam untuk memajukan kawasan Matu dan Daro khasnya dari segi kemudahan infrastruktur asas seperti jalan, elektrik dan air bersih.

"Sebelum ini tidak ada yang menyangka kawasan ini yang penuh dengan hutan paya boleh mempunyai sistem jalan raya yang lebih baik, namun hari ini kesemua itu sudah tidak mustahil," katanya kepada Bernama dalam satu temuramah di sini baru-baru ini.

Selepas menjadi wakil rakyat di Matu-Daro selama lima penggal Wahab berkata hampir setiap kampung di kawasan itu kini sudah mempunyai sistem jalan raya yang baik serta dihubungkan dengan jalan utama dari Daro ke Mukah.

Katanya penduduk bukan sahaja menikmati kemudahan tersebut untuk urusan harian malah membantu dalam meningkatkan lagi sumber ekonomi melalui penjualan hasil pertanian dan perikanan ke luar dari kawasan Daro dan Matu.

Beliau berkata perlantikan beliau sebagai Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi ketika menjadi wakil rakyat di peringkat DUN juga banyak memberi peluang kepadanya meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan yang pernah dianggap sebagai kawasan paling sukar untuk dibangunkan kerana terletak di kawasan delta sungai.

Bandar Sibu dan Mukah rangsang kemajuan

Dua sungai yang besar menjadi pemisah kepada kawasan Igan dengan dua bandar utama di wilayah tengah Sarawak iaitu bandar Sibu dan Mukah.

"Jalan darat menghubungkan Daro dengan Mukah kini dipisahkan oleh Batang Igan manakala jalan Daro ke Sibu dipisahkan oleh Muara Lassa yang terpaksa bergantung dengan perkhidmatan feri untuk menyambung perjalanan darat," katanya.

Beliau berkata perjalanan dari Mukah ke Daro sebenarnya kurang daripada 100 kilometer namun oleh kerana tidak ada jembatan penghubung di Batang Igan, perjalanan terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam.

Begitu juga, katanya, perjalanan selama dua jam setengah dari Daro ke Sibu yang terpaksa menggunakan perkhidmatan dua buah feri di Muara Lassa yang menjadi pemisah kepada Pulau Bruit di seberang Daro walaupun jaraknya kurang 200 kilometer.

Katanya sebagai anggota parlimen kawasan itu beliau telahpun menyuarakan perkara berkenaan kepada kerajaan di peringkat pusat dan negeri agar pembangunan sistem perhubungan di kawasan Igan dan Tanjung Manis di tingkatkan sejajar dengan kedudukkan dalam SCORE.

Kerajaan lulus projek bina jambatan Igan

"Saya difahamkan projek untuk pembinaan Jambatan Igan yang dianggarkan bernilai RM200 juta diluluskan oleh kerajaan negeri dan kini hanya menunggu dana untuk pelaksanaan," katanya.

Wahab berkata pembinaan projek Jambatan Igan dilihat mampu untuk merancakkan lagi pembangunan kawasan Igan yang kini menjadi antara kawasan perladangan kelapa sawit utama di negeri ini.

Katanya walaupun belum dapat dipastikan kedudukan jambatan itu sama ada akan dibina di kawasan berdekatan muara sungai ataupun lebih ke hulu sungai, namun ia dilihat sebagai satu projek yang penti ng kepada pembangunan SCORE yang turut merangkumi kawasan Igan.

Beliau menjelaskan bahawa projek pembangunan pelabuhan laut dalam di Tanjung Manis juga menjadikan projek itu penting kerana segala hasil keluaran minyak kelapa sawit akan lebih mudah diangkut melalui Jambatan Igan terus ke Tanjung Manis.

"Selain berharap pelaksanaan Jambatan Igan dapat dibuat dalam Rancangan Malaysia Ke-11 nanti, saya juga berharap perkhidmatan feri di Nanga Kecil yang menghubungkan Daro dengan Pulau Bruit dapat ditambah kepada dua buah," katanya.

Menurutnya ketika ini pengguna perkhidmatan tersebut terpaksa menunggu sehingga sejam untuk menyeberangi Muara Lassa manakala satu lagi feri mengambil masa setengah jam.

Dalam pada itu Wahab yakin dengan kepesatan pembangunan sistem jalan raya sama ada dalam kawasan Parlimen Igan mahupun kawasan sekitarnya seperti Parlimen Tanjung Manis dan Mukah, penduduk kini boleh menikmati kemudahan tersebut yang jauh lebih baik berbanding apa yang mereka ada sebelum ini.

"Sebelum ini penduduk seperti di kawasan Parlimen Igan berhadapan kesukaran untuk pergi ke Tanjung Manis mahupun Mukah melalui jalan laut, tapi sekarang dengan menggunakan motosikal pun mereka boleh sampai dengan mudah," katanya.

Katanya dia percaya tidak ada perkara yang mustahil dalam membangunkan kawasan Igan dengan adanya sokongan padu semua pihak khasnya rakyat dan pemimpin tempatan.

Selain menjadi kawasan penanaman kelapa sawit, kawasan Igan juga terkenal dengan keluaran hasil pertanian lain seperti padi, getah dan buah-buahan.

Kawasan itu juga menempatkan beberapa perkampungan nelayan seperti Kampung Kuala Igan dan Kuala Matu yang terkenal dengan hasil tangkapan udang laut manakala Kampung Tebaang dengan hasil tangkapan ikan terubok sungai.

Pembangunan Tanjung Manis bawa nikmat kawasan Igan dan Mukah

Dalam pada itu Anggota Dewan Undangan Negeri Jemoreng Abu Seman Jahwie berkata rentetan itu rakyat di Wilayah Tengah Sarawak termasuk Mukah dan kawasan sekitarnya mula menikmati hasil usaha gigih kerajaan membangunkan Tanjung Manis sebagai Bandar industri baru yang merangkumi bidang perikanan, perkayuan, hab halal dan perkapalan.

Beliau berkata langkah membangunkan kawasan yang berkeluasan 70,708 kilometer persegi bermula dari Bintulu ke Tanjung Manis ini mula menampakkan hasil apabila wujudnya jaringan jalan raya yang bertaraf moden dari Mukah seterusnya menghubungi kawasan berhampiran merangkumi kawasan DUN Jemoreng, Semop dan Belawai.

Abu Seman yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata hari ini Mukah bukan sahaja berubah wajah menjadi sebuah bandar tetapi juga menyediakan prasarana pendidikan bertaraf moden untuk kemudahan rakyat.

Katanya yang jelas melalui SCORE Mukah kini mempunyai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Mukah, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak dan Maktab Rendah Sains Mara.

"Dan sudah semestinya bagi rakyat kawasan DUN Jemoreng usaha kerajaan itu merupakan satu hadiah tidak ternilai bagi mereka yang mendambakan pembangunan dan mampu meningkatkan ekonomi rakyat sekaligus bertepatan dengan visi untuk membasmikan kemiskinan dalam tempoh jangka panjang," katanya ketika berucap pada sesi berbahasan bajet pada persidangan DUN Sarawak di sini.

Katanya, pada masa yang sama pelancaran Halal Hab Tanjung Manis akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dan generasi muda pada amnya.

Menurut beliau untuk itu kerajaan perlu beralih daripada hanya bergantung kepada sektor tradisional kepada sektor moden yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan lebih pesat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan