Penjual Akhbar Hadapi Pelbagai Risiko

Diterbitkan: Ahad, 15 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa ketika kebanyakan kita masih enak berselimut dalam kedinginan subuh, ada segolongan insan yang terpaksa mengorbankan nikmat itu, semata-mata untuk memastikan mereka sudah sampai ke pintu pagar rumah kita untuk menghidangkan sesuatu yang amat berharga.

Walaupun kita mungkin tidak pernah peduli untuk mengetahui nama mereka, tetapi golongan ini tidak memperdulikan semua itu, asalkan mereka mendapat kepuasan daripada menunaikan tugas masing-masing.

Mereka adalah penjual akhbar, yang menghidangkan berita dari seluruh dunia, sebagai santapan wajib kebanyakan kita setiap hari.

Mungkin juga tidak ramai yang menyedari bahawa dalam menunaikan tugas mereka untuk menyara keluarga, para pengedar akhbar ini terpaksa berdepan dengan pelbagai bahaya dan risiko, termasuk menjadi mangsa kemalangan jalan raya, serangan anjing dan perompak.

Sudah menjadi rutin hidup masing-masing, seawal pukul 3 pagi lagi, golongan ini, yang terdiri daripada remaja hinggalah mereka yang sudah bergelar warga emas, akan berkumpul di luar kilang atau tempat tertentu, bagi mengambil akhbar yang siap dicetak, untuk diedar kepada pembaca.

Dalam perjalanan ke rumah pelanggan, golongan ini sentiasa diintai bahaya apabila motosikal mereka yang sarat dengan muatan akhbar, meredah jalan raya yang selalunya dikuasai pemandu kenderaan yang memecut secara tidak berhemah pada awal pagi.

N. Thaeenathayalan adalah antara pengedar akhbar yang cukup dikenali di sekitar Kuala Lumpur dan warga emas ini bolehlah dianggap suatu ikon dalam dunia penjual surat khabar.

Lelaki berjiwa kental ini menjadi pengedar akhbar sejak 43 tahun lepas iaitu sejak bekas majikannya, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), mula beroperasi pada 1968.

Thaeenathayalan berkata dia melakukan tugas ini bukan semata-mata kerana wang, tetapi juga untuk menikmati kepuasan daripadanya.

"Ini lebih kepada komitmen serta tanggungjawab untuk memastikan pelanggan gembira apabila akhbar sampai ke pintu rumah mereka setiap pagi. "Kami perlu sampai di pusat pengedaran sebelum pukul 6 pagi. Untuk berbuat demikian, kami kena keluar rumah lebih awal dan bekerja dengan pantas.

"Bagaimanapun, satu lagi kepuasan yang saya dapat melalui pekerjaan ini ialah sebagai seorang penjual akhbar, saya adalah bos saya sendiri. Sebab itulah saya terus melakukan pekerjaan ini.

"Walaupun menghidapi penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis, pekerjaan ini akan terus menjadi pilihan saya kerana saya mendapat banyak manfaat daripadanya," kata Thaeenathayalan yang pernah menerima anugerah daripada Bernama pada 2008, dalam temu bual dengan penulis baru-baru ini.

Hasil kegigihan dan kesabarannya, Thaeenathayalan mampu menyara persekolahan dua anaknya hingga mereka berjaya menjadi doktor, manakala seorang lagi sedang menuntut dalam jurusan undang-undang di United Kingdom dan anak perempuan sulungnya kini mengendalikan sebuah kedai di Wisma Bernama, Jalan Tun Razak.

Tetapi, katanya, semua itu tidak datang dengan mudah.

"Kami perlu bekerja 361 hari setahun dan hanya boleh bercuti selama empat hari iaitu pada Hari Raya Puasa, Deepavali, Krismas dan tahun Baru Cina... walaupun ada majlis perkahwinan, kematian atau urusan keluarga yang penting, kami tetap kena meredah jalan raya untuk menghantar surat khabar.

"Penjual surat khabar tidak pernah menikmati masa berkualiti bersama keluarga atau memainkan peranan seperti ibu bapa lain," katanya.

S. Gyanasegran, juga mempunyai cerita yang lebih kurang serupa dengan rakan setugasnya itu.

Sambil menjelaskan bahawa dia telah menjadi penjual surat khabar sejak 30 tahun lepas, lelaki ini berkata pekerjaannya penuh dengan keadaan kelam-kabut dan bahaya, berbanding mereka yang bertugas di pejabat.

"Walaupun menghadapi bahaya, pekerjaan ini amat sesuai dengan saya kerana ia adalah pekerjaan paling popular dalam kalangan orang India. Lebih kurang tiga dekad lepas, memang sukar untuk melihat orang Melayu atau Cina menjadi penjual akhbar.

"Oleh itu, saya ambil keputusan mencuba bidang ini," kata timbalan setiausaha Persatuan Penjual Akhbar India Selangor itu.

Katanya penerbit akhbar menawarkan beberapa faedah kepada penjual akhbar sebagai ganjaran bagi tugas yang mereka lakukan setiap hari.

"Kami diberi 500 naskhah percuma (surat khabar) untuk diedarkan, di samping diberi liputan insurans kematian sehingga RM28,000, dengan syarat seseorang penjual itu menjadi pemegang akaun berdaftar dengan penerbit berkenaan," kata Gyanasegran.

Presiden persatuan itu V. Arumugam pula berpendapat generasi muda hari ini tidak sanggup bangun pada awal pagi untuk menjadi penjual akhbar dan memilih pekerjaan yang mereka anggap lebih baik.

"Saya sendiri menggalakkan anak-anak saya menjadi profesional dalam bidang lain dan mereka sendiri melihat bagaimana kami terpaksa bekerja bertungkus-lumus sebagai penjual akhbar," katanya.

Kini, persatuan itu mempunyai 500 anggota, yang sebahagian besarnya berusia 40 tahun ke atas, manakala di seluruh Malaysia terdapat kira-kira 5,000 penjual akhbar, termasuk Melayu dan Cina. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan