suria

AIM Bertanggungjawab Menangani Krisis Inovasi

KUALA LUMPUR: Malaysia pernah berhadapan dengan krisis ekonomi. Ada juga yang menyatakan kita pernah mengalami beberapa krisis politik. Namun hari ini, Malaysia berhadapan dengan satu krisis yang mungkin tidak disedari pun oleh rakyatnya sendiri - krisis inovasi.

Mungkin ada pihak yang tidak percaya dan tidak kurang yang menganggap ringan perkara ini. Namun kerajaan memandang perkara ini sebagai suatu yang serius dan perlu ditangani segera.

Malahan Rang Undang-undang Agensi Inovasi Malaysia 2010 telah diluluskan dalam tempoh hanya 10 hari selepas ia dibentangkan buat bacaan kali pertama pada 13 Disember tahun lepas.

Dengan lulusnya rang undang-undang berkenaan ia telah membuka laluan kepada penubuhan Agensi Inovasi Malaysia (AIM), sebuah badan berkanun yang bertujuan mengendalikan krisis inovasi di samping melaksanakan mandat khusus.

Apa sebenarnya krisis inovasi?

Ia adalah apabila terdapat kekayaan di negara ini tetapi kekayaan itu tidak dibawa ketengah dan ini berpotensi menyebabkan kemunduran ekonomi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas (UNIK), Datuk Dr Kamal Jit Singh dalam satu temubual dengan Bernama.

"Terdapat keperluan untuk mengorientasi semula inovasi ke arah penciptaan kekayaan dan keadaan sosial yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata, laporan Model Ekonomi Baru mengutarakan bahawa usaha Malaysia ke arah inovasi masih tidak mencukupi.

"Di awal laporan, iaitu di mukasurat 5 menyatakan bahawa terdapat satu kekurangan yang serius dalam sistem kita, iaitu usaha inovasi kita sejak lima tahun lepas bermula 2002 sebenarnya menunjukkan penurunan.

"Dalam keadaan negara lain di dunia berlumba-lumba merekodkan peningkatan, pencapaian mendatar pun sudah dikira teruk, apatah lagi jika mengalami penurunan. Ini seperti kelemahan berganda," katanya.

Beliau mendedahkan bahawa Bank Dunia telah meramalkan bahawa sekiranya corak itu berterusan, ekonomi Malaysia berkemungkinan mengalami kemunduran.

Ini boleh berlaku kerana ekonomi perlu melalui transformasi yang bersepadu untuk maju dan inovasi adalah sebahagian daripada proses berkenaan, katanya.

"Tanpa inovasi, kita mungkin tidak mampu untuk merealisasikan Wawasan 2020".

ASAS INOVASI

Sebuah negara perlu berdaya saing secara global sekiranya ingin menjadi maju. Dan alat pemacu untuk membawa Malaysia ke dunia yang berdaya saing ialah inovasi, kata Kamal Jit.

Bagaimanapun, bagi Malaysia tumpuan hendaklah bermula dari bawah agar dapat diwujudkan satu tapak yang kukuh.

Kata beliau tapak yang dimaksudkan merupakan kelulusan Akta AIM 2010, di mana dengan statusnya sebagai badan berkanun, agensi berkenaan mempunyai "lebih taring untuk menjalankan tugas".

Bagaimanapun, akta mempunyai jangka hayat yang tetap dan di Malaysia sesebuah Akta di Parlimen akan wujud selama 10 tahun sebelum ia dipinda atau dimansuhkan.

Sekiranya AIM berhasrat untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara inovasi dalam sedekad ini, ia perlu memulakannya dari sekarang. Adakah tempoh itu cukup bagi AIM untuk merealisasikan hasrat itu?

Kamal Jit menjawab: "Sememangnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara inovasi dalam hanya 10 tahun merupakan tugas yang berat. Namun kadang-kadang lebih banyak kerja yang dapat dijanakan dalam tempoh masa yang terhad. Sekiranya kita mempunyai masa yang banyak kita mungkin akan leka mengenainya."

Beliau berkata, akta itu digubal dengan menggunakan akta terbaik seumpamanya dari seluruh dunia sebagai kayu pengukur.

Ini dilakukan dengan melihat kepada amalan terbaik yang dilaksanakan oleh negara lain dan mengambil apa yang sesuai untuk diamalkan di Malaysia.

Bagaimanapun, Kamal Jit berkata tiada "peniruan" dilakukan, kerana setiap negara perlu menghasilkan satu sistem yang sesuai untuk mereka.

Agensi berkenaan mempunyai satu majlis tadbir urus yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan akan beroperasi dalam rangka Dasar Inovasi Negara yang akan dilancarkan bulan depan.

EMPAT TERAS

Akta AIM 2010 adalah tapak untuk membina sebuah negara yang bergerak ke arah persaingan sejagat. Seperti juga sebuah rumah, yang duduk di atas tapak ialah tiang-tiangnya.

Kamal Jit berkata untuk mencapai Sistem Inovasi Negara, AIM akan menumpukan kepada empat teras yang akan membantu Malaysia bergerak ke arah persaingan sejagat.

Empat teras itu ialah:

* Sistem pelajaran - ia hendaklah dirangka bagi memastikan ia mengandungi ciri dan komponen yang tepat untuk menghasilkan pelajar yang berdaya saing tinggi di peringkat global.

* Institusi pengajian tinggi - hendaklah menyediakan pelajar dengan kemahiran yang boleh diubah suai untuk mendorong ke arah pertumbuhan ekonomi.

* Kerajaan - di Malaysia, sama seperti negara sedang membangun yang lain, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan itu sendiri untuk memacu hala tujunya. Untuk memastikan ia berlaku dengan berkesan, kerajaan hendaklah melaksanakan inovasi iaitu kunci ke arah persaingan sejagat.

* Industri – Terdapat kira-kira 600,000 Industri Kecil dan Sederhana di Malaysia. IKS adalah jentera kepada pertumbuhan, seperti yang dipamerkan oleh negara seperti Taiwan, Jepun dan Korea di mana IKS yang memacu negara berkenaan menduduki tangga tertinggi dalam ekonomi.

"Ini adalah empat bidang yang akan diberi tumpuan AIM. Sekiranya dilaksanakan dengan tepat, ia akan membentuk Sistem Inovasi Negara," kata Kamal Jit.

Beliau berkata, Sistem Inovasi Negara bukanlah sesuatu yang fizikal sebaliknya hasil daripada perkembangan budaya sesuatu masyarakat.

"Ianya merupakan sebuah budaya inovasi yang akan membuahkan hasil bagi jangka masa panjang."

Kamal Jit berkata negara barat dengan budaya inovasi adalah hasil daripada kerjasama antara empat teras berkenaan. Bagaimanapun, ia tidak berlaku di Malaysia kerana di negara ini teras berkenaan berdiri secara bersendirian atau tidak bekerjasama antara satu sama lain.

Beliau berkata AIM diwujudkan bagi memastikan kesemua empat teras berkenaan bekerjasama antara satu sama lain.

"Jika kita dapat laksanakan ini, kita akan mewujudkan peluang-peluang baru yang akan menarik mereka yang berbakat balik ke Malaysia. Kita telahpun mempunyai Talent Corp, yang merupakan langkah bijak ke hadapan. Kewujudan AIM akan menyokong usaha itu di samping memperkembangkannya.

INOVASI MENERUSI BAKAT

Di samping itu, kata Kamal Jit, ia juga akan memastikan terdapat bakat-bakat boleh ubah suai di Malaysia untuk menarik lebih banyak Pelaburan Terus Asing (FDI).

"Aduan yang biasa diterima oleh FDI Malaysia tidak mempunyai bakat yang mencukupi, oleh itu mereka lebih suka melabur di negara lain.

"Hakikatnya ialah bukannya kita tidak mempunyai bakat yang mencukupi. Kita mempunyai ramai graduan universiti jadi kita memang mempunyai bakat. Ia hanyalah kerana bakat itu tidak dapat diubah suai."

Beliau berkata adalah satu lumrah di Malaysia apabila graduan dalam satu-satu bidang tidak mampu melakukan kerja dalam bidang lain, sedangkan sepatutnya seorang graduan mudah untuk dilentur.

Kamal Jit berkata dalam sebuah budaya inovasi, seorang graduan boleh ditransformasi sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga enam bulan dan kemudian dilentur semula untuk menjadi mahir dalam bidang yang lain pula.

Beliau yang memberi contoh Sweden, yang terkenal dengan kemahiran dalam pembuatan kapal sejak Zaman Viking. Apabila mereka mendapati mereka tidak mampu lagi bersaing dengan Jerman dan Korea Selatan dalam perdagangan itu, mereka mencari kemahiran yang lain.

Hasilnya, dalam tempoh enam bulan sahaja sebuah kampung di Sweden yang mahir dalam pembuatan kapal menjadi mahir pula dalam seni penghasilan jam.

"Bayangkan sebuah masyarakat yang mempunyai puluhan tahun kemahiran dalam pembinaan kapal tiba-tiba menjadi mahir dalam menghasilkan jam. Mereka dapat berbuat demikian kerana kemahiran asasnya sudah ada.

"Begitu juga dengan para graduan. Mereka mempunyai kemahiran asas, maka mereka juga sepatutnya boleh mengubah suai kemahiran yang dimiliki," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain