suria

Bomba Mampu Atasi Kebakaran Di Tempat Tinggi Seperti KLCC

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata kesemua bangunan tinggi di negara ini memenuhi piawaian, mematuhi undang-undang yang ditetapkan di samping mempunyai ciri-ciri keselamatan yang memuaskan terutama dalam menghadapi kebakaran. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata kesemua bangunan tinggi di negara ini memenuhi piawaian, mematuhi undang-undang yang ditetapkan di samping mempunyai ciri-ciri keselamatan yang memuaskan terutama dalam menghadapi kebakaran. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata kesemua bangunan tinggi di negara ini memenuhi piawaian, mematuhi undang-undang yang ditetapkan di samping mempunyai ciri-ciri keselamatan yang memuaskan terutama dalam menghadapi kebakaran. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Bangunan pencakar langit kian bertambah setiap tahun seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh Malaysia sejak merdeka.

Di Lembah Klang sahaja, bangunan setinggi 12 tingkat kini mencecah jumlah 548 dan jika dihitung di seluruh Malaysia sudah pasti mencecah ribuan.

Negara turut mempunyai bangunan pencakar langit iaitu menara berkembar Petronas KLCC yang mempunyai ketinggian sehingga 88 tingkat.

Persoalannya adakah bangunan yang tinggi ini selamat? Sekira berlaku kebakaran, adakah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mempunyai petugas tetap seramai 13,456 mampu menanganinya?

Bagi menjawabnya Bernama baru-baru ini menemuramah Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim di pejabatnya di Putrajaya di sini.

PENUHI PIAWAIAN

Wan Mohd Nor berkata kesemua bangunan tinggi di negara ini memenuhi piawaian, mematuhi undang-undang yang ditetapkan di samping mempunyai ciri-ciri keselamatan yang memuaskan terutama dalam menghadapi kebakaran.

Beliau berkata bangunan tinggi di Malaysia terutama yang dibina selepas tahun 1984 mematuhi undang-undang yang dipanggil Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984.

"Undang-undang ini umumnya telah dipertingkatkan dari versi 1976 iaitu selepas kejadian kebakaran bangunan Kompleks Campbell (Campbell Complex) pada 8 April, 1976," katanya lagi. Menurutnya lagi bangunan-bangunan tinggi di Malaysia sememangnya dilengkapi alat pencegahan kebakaran yang mencukupi selain mempunyai ciri-ciri keselamatan dan sistem tersendiri sekiranya berlaku kebakaran.

"Antaranya ialah pintu rintangan api, kamera litar tertutup (CCTV), sistem 'sprinkeler' protected corridor, dan lobi bagi membolehkan penghuni keluar dengan selamat sekira berlaku kebakaran.

"Bermakna sistem yang dipasang itu berupaya memadamkan kebakaran atau memberi amaran kepada mereka yang berada dalam bangunan tinggi", katanya.

CIRI KESELAMATAN TINGGI DI KLCC

Wan Mohd Nor berkata bomba sememangnya mempunyai peralatan yang mencukupi dan mampu menghadapi apa juga situasi kebakaran meskipun ia berlaku di tempat tinggi seperti KLCC.

Beliau berkata ini kerana KLCC yang mempunyai 88 tingkat dan terdiri daripada dua bahagian (bangunan berkembar) mempunyai ciri keselamatan yang tinggi dan telah pun diambil kira keselamatannya oleh pihak bomba semasa proses pembinaan.

"Lagipun bangunan macam ni memang perhatiannya lebih... ada bilik kawalan 24 jam, kamera CCTV untuk mengesan kebakaran dengan cepat dan alat bantuan yang mencukupi sekiranya berlaku kebakaran.

KLCC sememangnya mempunyai rekabentuk berbeza dengan bangunan lain di Malaysia dan sekiranya berlaku kebakaran, ketinggian bukanlah faktor yang paling utama kepada bomba sebaliknya nyawa orang ramai.

"Bukan sahaja tinggi itu masalah KLCC sekiranya berlaku kebakaran tetapi masalahnya ialah orang di dalamnya ramai, ada beribu orang.

"Jadi yang paling penting ialah sistem 'fire protection' di dalamnya mesti dalam keadaan baik...kalau ada berlaku kebakaran, automatik akan memadamkan kebakaran," katanya lagi.

DUA KAEDAH MEMADAMKAN KEBAKARAN DI TEMPAT TINGGI

Wan Mohd Nor berkata anggota bomba di negara ini sememangnya terlatih dalam menghadapi apa jua kebakaran dan dalam menghadapi kebakaran di bangunan tinggi dua kaedah biasanya akan digunakan.

Beliau berkata kaedah tersebut dikenali sebagai "Internal Fire Fighting" dan "External Fire Fighting".

Internal Fire Fighting ataupun ‘Offensive Fire Fighting’ adalah satu teknik pemadaman secara agresif yang mewajibkan pasukan bomba memasuki sesebuah bangunan /struktur untuk tujuan pemadaman ataupun menyelamat.

Teknik ini digunapakai apabila terdapat mangsa yang terperangkap di bangunan dan berdasarkan penilaian kemungkinan mangsa itu masih hidup adalah tinggi atau berdasarkan penilaian awal analisis risiko, struktur bangunan adalah selamat untuk dimasuki dan tidak akan runtuh dan ‘dynamic kebakaran’ adalah difahami.

Manakala External Fire Fighting pula ataupun ‘Defensive Fire Fighting' merupakan teknik pemadaman dari luar bangunan bagi tujuan isolasi dan menstabilkan sesuatu kebakaran supaya ia tidak musnah sama sekali dan merebak ke struktur lain.

INTERNAL FIRE FIGHTING JADI PILIHAN

Wan Mohd Nor berkata daripada kedua-dua kaedah tersebut, kaedah "Internal Fire Fighting" menjadi pilihan oleh anggota Bomba dalam menghadapi kebakaran di bangunan tinggi.

Ini kerana tangga yang dimiliki bomba hanya boleh naik setinggi 15 tingkat malah selain itu ia adalah kerana mendapat mereka turut mendapat bantuan dari bahagian dalaman bangunan itu sendiri yang dilengkapi alat pemadam api seperti "sprinkler" dan sebagainya.

"Kaedah ini sememangnya menjadi pilihan apabila bomba menghadapi situasi kebakaran di tempat tinggi, ianya kerana memadamkan api dari dalam adalah lebih cepat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain