Jangan Remehkan Ancaman Kanser Payudara

Diterbitkan: Rabu, 24 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kanser payudara ialah kanser pembunuh utama wanita Malaysia berumur 40 tahun ke atas. Ramai rakyat Malaysia yang telah melalui pengalaman menyakitkan melihat ibu, kakak, adik, rakan atau jiran yang menghidap penyakit ini dan kehilangan insan tersayang kerananya.

Meskipun sudah disah menghidap kanser payudara, masih ada yang memandang remeh ancaman maut penyakit ini, dengan tidak melakukan apa-apa atau diselubungi fobia prospek pembedahan.

Ada pula yang gusar untuk menjalani rawatan kemoterapi atau merasa rendah diri jika payudara mereka terpaksa dibuang.

Bagi sesetengah wanita lain pula, sikap acuh tak acuh ini ada kalanya lebih kepada 'terpaksa', antaranya kerana takut dicerai atau suami tidak ambil peduli.

Ada juga suami yang memaksa isteri menggunakan kaedah rawatan tradisional daripada mendapat rawatan di hospital, kata Pakar Runding Bedah Payudara Pusat Perubatan UKM (PPUKM), Profesor Madya (Klinikal) Dr Norlia Abdullah dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kes demikian masih berlaku dan berterusan, lebih ketara di kawasan kampung dan pedalaman, ada yang tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan rawatan. Ini juga berlaku lebih kerap dalam kalangan yang tidak berpelajaran tinggi dan bersosioekonomi rendah.

KERUGIAN MASA

"Ada pesakit yang menghilangkan diri selepas saya berbincang panjang lebar mengenai diagnosis penyakitnya. Keluar dari bilik terus hilang. Enam bulan atau setahun kemudian datang balik berjumpa dengan saya.

"Pesakit yang demikian sebenarnya kerugian masa enam bulan atau setahun untuk rawatan dan tempoh itu amat penting untuk menyekat penularan sel kanser.

"Bila datang balik kansernya sudah di tahap kritikal. Ada yang ke tulang atau paru-paru. Menyesal macam mana pun pesakit tidak boleh mendapat balik tempoh rawatan yang sudah disia-siakan," jelas Dr Norlia yang mendapat latihan pembedahan dan penjagaan barah payudara di Royal Marsden Hospital, London, hospital kanser tertua di dunia.

Menurut beliau, pesakit lazimnya akan dinasihatkan supaya hanya berbincang mengenai penyakit mereka serta pilihan rawatan yang disyorkan dengan ahli keluarga terdekat.

Langkah demikian, katanya penting supaya pesakit tidak menjadi lebih keliru dengan pelbagai pihak memberi syor dan pandangan termasuk mendapatkan rawatan alternatif seperti rawatan tradisional.

"Orang Melayu mudah terpengaruh dengan dakwaan rawatan alternatif lebih-lebih lagi yang tidak memerlukan prosedur pembedahan. "Kalau tidak jelas, langkah yang terbaik ialah berjumpa balik dengan doktor atau jururawat," katanya yang berkhidmat dengan PPUKM sejak 1992.

PELUANG LEBIH BAIK

Pesakit yang disah menghidap kanser Tahap Satu mempunyai peluang untuk mendapat hasil rawatan yang lebih baik jika berjumpa doktor lebih awal.

"Sekiranya mereka datang bila tidak lagi terdaya menahan kesakitan, apabila kanser sudah berada di Tahap Empat, dan selepas mencuba, katakan 10 perubatan tradisional yang berbeza, saya bukan sahaja amat kecewa apabila ini berlaku tetapi juga sukar untuk dipulihkan.

"Dalam keadaan ini pilihan yang ada terhad dan pihak kami mungkin akan hanya dapat memberi ubat untuk mengurangkan kesakitan," jelas Dr Norlia.

Menurut beliau, jika dibuat perbandingan pesakit kanser payu dara, majoriti yang mendapatkan rawatan awal di hospital ialah kaum Cina.

KURANG SOKONGAN

Berdasarkan pengalaman kes-kes terdahulu Dr Norlia memberitahu bahawa ada pesakit kanser payudara wanita yang kurang mendapat sokongan suami.

Beliau memberi contoh kes seorang wanita yang datang untuk mendapatkan rawatan kerana terdapat ketulan di payudaranya.

"Kami baru ambil sampel tisu dan belum tentukan sama ada kanser ataupun tidak, suami sudah menjatuhkan talak.

"Jika pesakit hanya seorang suri rumah, ada anak dan bergantung hidup pada suami tentunya dia akan takut.

"Keadaan ini menyebabkan isteri sembunyikan kalau pun ada ketulan dan buat tak tahu sahaja.

"Ada juga isteri yang menyorok pergi ke hospital kerana takut suami marah kerana pergi ke hospital," jelas Dr Norlia.

Tambahnya, pihak suami seharusnya memberi sokongan kepada isteri sebagaimana mereka mendapat sokongan daripada isteri sekiranya sakit.

"Kita boleh perhatikan di wad-wad bagaimana isteri menunggu suami yang terlantar kaki dipotong, menyuapkan makanan, mencucikan badan. Jarang sekali kita lihat suami menjaga isteri sedemikian," katanya.

Menurut beliau, penghidap kanser wanita juga tidak harus dipersalah bulat-bulat sekiranya bertindak mendapatkan rawatan alternatif.

"Nak salahkan wanita kena tengok balik punca sebenar. Apakah dia diberi perkhidmatan yang boleh diterimanya dan apakah dia diberi pilihan?

"Katakan dia hamil dan doktor tidak memberi pilihan selain menggugurkan kandungan. Sebagai pesakit, dia akan merasa tertekan dan pergi ke tempat lain yang lebih memahami keadaannya untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau menegaskan adalah amat penting untuk mendapatkan kepercayaan pesakit dalam pertemuan pertama jika tidak mahu kehilangan pesakit itu.

GUGUR KANDUNGAN

Menurut Dr Norlia, kebanyakan doktor akan mengesyorkan wanita yang hamil dan menghidap kanser supaya menggugurkan kandungan mereka.

Katanya kebanyakan wanita, terutama yang beragama Islam, tidak akan mahu berbuat demikian.

"Inilah antara punca mereka menghilangkan diri dan hanya datang balik setahun atau dua tahun kemudian dan kansernya sudah menular," katanya.

Beliau berpendapat wanita yang mengandung boleh menjalani rawatan pembedahan payudara. Kalau perlu, kemoterapi juga boleh diberi tanpa perlu menggugurkan kandungan mereka.

Dr Norlia bagaimanapun berkata risiko kerosakan tinggi kepada janin adalah mereka yang hamil tiga bulan (12 minggu) ke bawah ketika diberi kemoterapi.

"Kalau wanita itu hamil 10 minggu kita akan tangguhkan rawatan kemoterapi sehingga kandungannya sudah 15 minggu, sebagai contoh.

"Antara risiko kepada janin ialah perkembangan terencat dan bayi kurang berat badan. Lazimnya berat bayi antara 2.5 kg hingga 4 kg dan dalam hal ini, berat bayi mungkin kurang dari 2.5 kg, " katanya.

Dr Norlia memberitahu bahawa terdapat juga risiko keguguran atau bayi mati dalam kandungan tetapi risikonya rendah.

LEBIH AGRESIF

Katanya kanser payudara yang menyerang wanita muda berusia antara 20-an dan 30-an adalah lebih agresif berbanding mereka yang berusia dalam lingkungan 50-an ke atas.

"Kita tidak tahu mengapa tetapi sel kanser cepat membiak dan menular dalam kalangan penghidap muda. Katakan wanita itu berusia 31 dan didiagnos kanser payudara serta hamil 10 minggu. Kalau tunggu sampai bersalin baru nak buat rawatan, apa yang akan berlaku jika lapan bulan tanpa rawatan?

"Itu sebabnya kami mulakan rawatan apabila kandungan masuk minggu ke-15 atau 18. Biasanya kita bermula dengan pembedahan dulu tetapi ini bergantung juga kepada saiz tumor.

"Lazimnya kita buat pembedahan dan mungkin mulakan kemoterapi pada penghujungan kehamilan. Lepas bersalin kita buat radioterapi,atau terapi endokrin (anti-hormon) jika perlu," kata Dr Norlia.

Beliau menjelaskan bahawa biasanya sel kanser tidak akan menular kepada bayi.

"Uri bertindak sebagai penghalang semulajadi tetapi virus Aids atau Hepatitis B atau Hepatitis C boleh merebak kepada bayi. "Bagaimanapun ubat kemoterapi boleh pergi kepada anak. Risikonya kecil dan ini boleh merencatkan tumbesaran bayi. Kita tidak mempunyai banyak data mengenai perkara ini kerana tak ramai wanita yang menjalani kemoterapi semasa hamil," tambahnya.

NASIHAT KEPADA WANITA

Menurut ensiklopedia bebas Wikipedia Bahasa Melayu, kanser payudara adalah kanser paling tua di dunia yang diketahui manusia sebagai kanser ketumbuhan dalam manusia.

Penjelasan tentang kanser juga diketahui oleh orang Mesir purba sejak berkurun lamanya meskipun istilah itu tidak digunakan, lebih kurang pada 1600 sebelum Masehi.

Meskipun kanser sering dianggap sebagai penyakit pembunuh tetapi ia bukan lagi satu 'hukuman mati'.

Menurut Dr Norlia, kini sudah terdapat pelbagai kemajuan termasuk kaedah rawatan yang hasilnya bagaimanapun bergantung kepada tahap kanser ketika mendapat rawatan di hospital.

"Mereka yang menghidap kanser ini tidak perlu bersusah hati sangat. Yang penting dapatkan rawatan awal untuk mendapat hasil rawatan yang terbaik. Sememangnya saya juga akan melakukan yang terbaik, selebihnya kita berserah kepada Allah.

"Ada yang tanya saya bolehkah dia melihat anaknya lulus universiti dan kalau yang ada anak kecil, bolehkah dia melihat anaknya masuk sekolah.

"Ternyata mereka ini memberatkan hal anak-anak jadi wajar untuk mereka tampil mendapatkan rawatan awal dan tidak menunggu hingga penyakit sudah melarat," katanya.

Dr Norlia mahu kaum wanita turut memberi perhatian berat kepada kesihatan sendiri kerana ramai yang lebih mengutamakan kesejahteraan keluarga atau orang lain daripada keadaan mereka.

"Peranan wanita itu penting, untuk itu keperluan sendiri perlu didahulukan. Jika mereka jatuh sakit sudah tentu seluruh keluarga akan merasa kesannya," tambahnya.

PERIKSA SENDIRI

Wanita berusia 20 tahun ke atas juga digalakkan supaya membuat pemeriksaan sendiri payudara.

Dr Norlia memberitahu bahawa PPUKM mulai Oktober tahun ini memulakan perkhidmatan pemeriksaan payudara yang ditujukan kepada warga emas.

Peringkat permulaan perkhidmatan ini memberi tumpuan kepada wanita berusia antara 50 hingga 65 tahun.

"Kebanyakan negara Barat sudah ada program ini dan sudah sampai masanya untuk kita perkenalkannya supaya dapat mengesan penyakit ini dari peringkat awal lagi.

"Wanita yang mendaftar untuk perkhidmatan ini akan menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun dan ujian mamogram pula dibuat setiap dua tahun sekali," tambahnya.

MEMBIMBANGKAN

Dr Norlia berkata insiden (bilangan kes kanser baru) penyakit kanser payudara menyerang wanita berusia bawah 50 tahun di Malaysia, tanpa mengira kaum adalah lebih tinggi berbanding di negara Barat.

Angka itu, katanya, meningkat dari tahun ke tahun.

Di negara Barat, katanya kanser lebih menyerang wanita berusia antara 60-an dan 70-an.

Data 2005, katanya menunjukkan insiden penyakit kanser payudara dalami kalangan wanita Cina ialah 1 dalam 16, India 1 dalam 17 sementara Melayu 1 dalam 28.

Amerika Syarikat, katanya mencatat rekod insiden penyakit kanser yang paling tinggi setakat ini iaitu 1 dalam setiap 5 wanita!

"Di negara Barat, penyakit ini dapat dikesan dari peringkat awal jadi kebanyakan penghidapnya memperoleh hasil rawatan yang lebih baik berbanding wanita di Malaysia.

"Penghidap kanser di negara kita bukan sahaja jauh lebih muda tetapi juga datang ke hospital lebih lewat jadi hasilnya sudah tentu tidak memuaskan," jelasnya.

ANGKA MENINGKAT

Menurut kira-kira Daftar Kanser Kebangsaan (2005), 4,000 kes baru penyakit kanser dikesan di negara ini setiap tahun.

Kanser payudara dilaporkan kanser pembunuh utama dalam kalangan wanita berusia 40 tahun ke atas di Malaysia.

Insiden kanser payudara di negara ini ialah 47.4 bagi setiap 100,000 wanita.

Sementara itu, Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Datuk Dr Zaidun Kamari baru-baru ini dipetik sebagai berkata kanser payudara aktif menyerang golongan wanita yang tinggal di kawasan pedalaman Kelantan.

Beliau memberitahu bahawa statistik mencatatkan hampir 70 peratus kes kanser payudara menyerang wanita di luar bandar atau pedalaman negeri itu.

Katanya begitu ramai yang belum menyedari kepentingan mendapatkan rawatan segera di hospital di samping takut menanggung risiko. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan