Pesakit AIDS Kenang Perjalanan Penuh 'Onak Dan Duri'

Diterbitkan: Isnin, 25 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pada tahun 1996, Julius (bukan nama sebenar) merupakan seorang pekerja di Singapura. Sebagai sebahagian daripada syarat memperbaharui permit kerja, Julius dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan.

Keputusan pemeriksaan tersebut amat memeranjatkan. Keputusan menunjukkan dia menghidap HIV!.

Kerana disahkan mempunyai HIV, Julius tidak dibenarkan bekerja di Singapura dan permit kerjanya tidak diperbaharui. Beliau terpaksa pulang ke Malaysia.

Julius diberi kaunseling dan dirujuk ke Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) di mana diberi surat untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu.

Di hospital tersebut, pegawai perubatan kanan yang memeriksanya menasihati beliau mendapatkan rawatan, yang kosnya adalah RM200.

Kerana tidak mempunyai cukup wang, Julius memberitahu jururawat yang dia akan pulang dahulu dan kembali dalam masa seminggu. Tetapi reaksi yang beliau terima cukup 'mengejutkannya' dan beliau melangkah pergi dengan penuh rasa kecewa.

"Kamu ada HIV dan kamu tidak mahu dirawat?" Itulah kata-kata seorang jururawat yang bertugas di kaunter.

Julius terpegun dengan kata-kata tersebut dan terus meninggalkan hospital itu. Dia melangkah pergi dan bertekad tidak akan kembali.

TIADA RAWATAN

Julius menuju ke Petaling Jaya dan mendapat pekerjaan di sana namun beliau tidak berusaha mendapatkan rawatan bagi masalah HIV yang beliau hadapi.

Setelah bertahun-tahun berlalu dan tanpa sebarang tanda dan gejala, Julius menganggap virus tersebut telah meninggalkannya.

Beliau pulang ke Sabah pada tahun 2003. Enam bulan kemudian, Julius mengalami demam yang teruk serta penyakit kulit. Beliau mendapatkan rawatan di hospital tetapi gagal menceritakan riwayat perubatannya kepada doktor.

Dari filem x-ray, paru-paru beliau menunjukkan ada jangkitan kuman. Doktor yang merawat menyangka beliau dijangkiti batuk kering dan memberikan ubat.

Julius jatuh sakit dan terlantar selama empat bulan sehinggalah seorang sepupunya menghantar beliau ke hospital di mana beliau dimasukkan ke dalam wad.

Ianya hanya selepas ini barulah seorang doktor bertanyakan tentang penyakit kulit yang dialaminya dan menasihatinya mengambil ujian HIV.

"Saya bersetuju kerana yakin saya tidak lagi menghidap HIV. Dua minggu kemudian keputusan ujian mengesahkan saya positif HIV", kata beliau. BERSENDIRI, DISKRIMINASI DAN KECEWA

Badai yang melanda muncul selepas 24 jam kemudian. Seorang sepupunya yang lain telah tanpa disedari memberitahu rakan-rakanya tentang Julius dan HIV yang dihidapinya. Semenjak itu tiada daripada mereka yang melawatnya di hospital.

"Saya bersendirian dalam sebuah bilik yang mempunyai bilik mandi dan tidak dibenarkan menggunakan peralatan hospital. Kakitangan hospital memberikan makanan yang telah siap dibungkus. Bila mereka perlu mengambil suhu badan, mereka datang berpakaian gaun surgikal lengkap dengan topeng dan sarung tangan. Saya dapat merasakan ketakutan serta kejelekan mereka terhadap saya.

"Tetapi itu tidak melukakan harapan saya dibandingkan dengan apa yang dikatakan sepupu saya tentang saya yang sudah menyusahkan beliau dan keluarganya kerana mereka diperlukan menjalani ujian darah bagi HIV disebabkan keadaan saya".

Julius kemudian dibenarkan keluar dari hospital dan beliau pulang ke kampung halamannya di mana beliau mempunyai sebidang tanah. Seorang jiran telah membina rumah kongsi di situ bagi pekerjanya dan Julius dibenarkan menginap di sebuah bilik di rumah itu.

Tidak lama kemudian jirannya meminta beliau meninggalkan rumah itu setelah menerima berita tentang keadaan HIV Julius dan takut berita itu tersebar dan beliau akan kehilangan pekerjanya.

"Pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) juga datang dan menasihati saya supaya pergi. Kata saya beliau tidak dapat menghalau saya pergi dari situ jika saya mahu terus tinggal di atas tanah hak milik saya".

Dengan bantuan kewangan daripada kakaknya, sebuah rumah yang kecil dibina untuk Julius.

"Rumah saya tiada elektrik. Hanya ada bilik tidur, bilik mandi dan dapur. Seorang sepupu yang punya kedai runcit akan menghantar barang keperluan. Saya tinggal bersendirian dan takut disisih masyarakat. Saya hanya keluar dari rumah seminggu sekali untuk membeli ikan atau daging di pasar."

Tetapi Julius tidak berputus asa.

Tiga tahun dulu, beliau kembali ke Kota Kinabalu dan dengan bantuan Jabatan Kebajikan Hospital Queen Elizabeth telah mengeluarkan RM40,000 daripada simpanan KWSP beliau. Dengan wang itu Julius memulakan hidup baru dan membuka sebuah kedai fotostat.

SUKARELAWAN

Beliau kini aktif sebagai sukarelawan dalam Program Kumpulan Sokongan yang dijalankan hospital tersebut selepas menjalani latihan melalui pembiayaan Majlis AIDS Malaysia.

Peranan beliau sebagai sukarelawan ialah bagi memberi sokongan moral terhadap pesakit HIV yang belum lagi dapat menerima kenyataan.

"Bila pesakit mengetahui mereka menghidap HIV, mereka jadi murung dan enggan menerima kenyataan. Tugas kami adalah membantu mereka dan memberi keyakinan yang ianya bukanlah berakhir bagi segalanya dan mereka boleh hidup secara normal.

"Saya juga ingin menyeru kepada mereka yang tiada penyakit ini. Janganlah takut terhadap kami. Tolonglah faham yang anda tidak akan dijangkiti dengan hanya berada dekat dengan kami.” - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan