Cara Perdana Menteri Mendekati Jiwa Rakyat

Diterbitkan: Khamis, 1 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 12 bulan beliau memegang jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa dinilai rakyat, dan beliau tidak menghampakan mereka.

Pendekatan mesra beliau mendapat perhatian rakyat. Ada yang terkejut tetapi gembira kerana berpeluang bersemuka secara peribadi dengan Perdana Menteri, bebas bercakap dengan beliau, tanpa ada yang menghalang.

"Saya harap Perdana Menteri akan terus mendengar pandangan rakyat di seluruh negara dan memberi perhatian terhadap masalah mereka supaya jalan penyelesaian yang baik boleh diusahakan," kata Lingam Kanniyah, 50, seorang penjawat awam dari Kuala Kubu Baru.

Lingam sangat gembira kerana Najib bersungguh-sungguh turun padang dan meninjau tempat-tempat tumpuan ramai, termasuk perhentian bas Puduraya yang sudah ketinggalan zaman strukturnya, di tengah-tengah ibu kota.

Terminal Puduraya dianggap Lingam bukan saja menyakitkan mata memandang, tetapi juga menjadi punca kesesakan lalu lintas. Lingam berkata Puduraya memerlukan pembaharuan drastik.

Perdana Menteri memulakan lawatan berjalan bersama rakyat ini, sehari selepas mengangkat sumpah jawatan, dengan meluangkan masanya pada Sabtu itu mengunjungi kawasan peniaga Cina di Petaling Street, kemudian ke kawasan masyarakat India di Brickfields dan juga Pantai Dalam, yang kebanyakan penghuninya ialah orang Melayu yang mengundi pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

RAKYAT PEMEGANG KEPENTINGAN

Najib membuktikan bahawa lawatan ini bukan seperti pepatah Melayu "hangat hangat tahi ayam".

Apabila ada saja peluang, Perdana Menteri memperuntuk sedikit masa daripada tugas rasminya di Putrajaya untuk berjalan bersama rakyat dan menjadikan amalan ini suatu rutin, sehingga ke negeri-negeri lain yang dilawatinya, malah berkunjung semula ke tempat seperti Petaling Jaya.

"Kita mesti memahami rakyat dalam menyampaikan apa yang mereka perlukan," kata Najib dalam bulan pertama beliau menerajui kerajaan.

"Jika kita benar-benar hendak berkhidmat kepada rakyat, kita harus tahu masalah yang dihadapi mereka. Kita perlu memahami setiap masalah, halangan dan kesukaran yang dihadapi rakyat. Hanya selepas itu kita boleh mengambil langkah-langkah wajar untuk mengatasi pelbagai masalah ini," katanya.

Dan beliau lebih suka cara yang mudah.

"Kita tidak perlu ikut cara lama di mana kita perlu keluarkan notis memaklumkan kedatangan seseorang pemimpin, buat persiapan sambutan "bunga manggar", hamparan permaidani merah dan menyediakan tempat duduk khas.

"Lawatan jalan kaki ini tidak memerlukan semua ini," jelas beliau selepas melawat Kampung Baru pada Februari lepas.

MENDENGAR RINTIHAN AKAR UMBI

Lingam yang menghadiri majlis jamuan teh anjuran Perdana Menteri bagi rakan-rakan Facebook beliau di Sri Perdana, Putrajaya, pada 13 Mac, berkata lawatan-lawatan itu memberikan Najib peluang terbaik untuk mendekati rakyat yang mungkin menghadapi masalah atau kebimbangan yang memerlukan perhatian segera.

"Saya pasti Perdana Menteri benar-benar mahu bertemu dengan kami, rakyat dan penduduk Malaysia, untuk mendapatkan maklumat terus daripada mereka. Datuk Seri Najib mengambil berat akan masalah yang mereka hadapi. Hanya menerusi pertemuan tidak rasmi seperti ini, masalah mereka boleh sampai kepada pengetahuan pihak berkuasa dan mendapat perhatian yang diperlukan," kata Lingam.

Yeoh Chen Chow dan Sharmila Sinnasamy turut hadir di majlis jamuan teh itu.

Yeoh, yang terbabit dalam perdagangan IT dan menetap di Seksyen 14 Petaling Jaya, juga menyambut baik pertemuan seperti ini.

"Saya mendapati sukar untuk percaya yang Perdana Menteri kita sanggup melawat dengan berjalan kaki di tempat-tempat tumpuan ramai, seperti Jalan Petaling yang sibuk dan Puduraya yang hiruk-pikuk.

"Ini merupakan satu langkah baik bagi Perdana Menteri mendekati rakyat dan rakyat mendekati beliau," kata Yeoh yang percaya pendekatan bersemuka ini merupakan cara terbaik untuk menangani keperluan rakyat.

MENUNGGU LEBIH BANYAK LAWATAN

Seorang penuntut, Sharmila Sinnasamy dari Kajang percaya dengan keberkesanan pendekatan mesra rakyat, yang diamalkan Najib.

"Ia satu pendekatan yang tepat untuk PM mendampingi rakyat. Melalui konsep 1Malaysia, tiada siapa yang tertinggal. Saya harap dapat bertemu dengan Perdana Menteri di Kajang suatu hari nanti untuk berkongsi masalah di situ seperti kerja-kerja pembinaan jalan yang tidak berkesudahan dan kesesakan lalu lintas yang timbul kerananya," kata penuntut berusia 25 tahun ini.

Hasrat Sharmila ini besar kemungkinan akan menjadi kenyataan memandangkan Najib sedang mengatur banyak lagi kunjungan sebegini bagi tahun ini, menurut satu mesej baru di blog 1Malaysia beliau.

Najib berkata berjalan bersama rakyat ini menggembirakan beliau kerana dapat bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara selain dapat duduk, makan dan minum bersama mereka.

Sesi bertemu rakyat ini juga membawa kenangan kepada bapa beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

"Sebagai Perdana Menteri, beliau selalu mengunjungi masyarakat dan bercakap dengan penduduk kampung di seluruh negara. Saya menghargai pengalaman beliau dan memberi perangsang kepada saya," kata Najib.

Najib juga menggesa semua menteri dan pegawai kanan kerajaan supaya menyertai beliau atau mengadakan lawatan sendiri untuk memahami dengan lebih baik keperluan rakyat.

"Ada pelbagai cara yang baik untuk berinteraksi dengan rakyat dan mendapatkan gambaran serta pandangan sebenar mereka mengenai perkara seperti kesihatan, pendidikan dan pengangkutan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan