suria

UiTM Tawar Kursus Diploma, Ijazah Baru Penuhi Permintaan Hub Halal

SAMARAHAN: Pengeluaran produk herba dan makanan halal adalah antara kursus diploma dan ijazah baru yang ditawarkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejajar dengan permintaan pasaran bagi tenaga manusia mahir untuk Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) dan Hub Halal Tanjung Manis (TMHH).

Rektor UiTM Sarawak Prof Dr Jamil Hamali berkata universiti itu akan juga memperkenalkan kursus diploma dan ijazah di bidang akuakultur dan mikrobiologi.

"Kursus-kursus itu akan diperkenalkan secara berperingkat dan sebaik saja kampus baru kita siap menjelang September 2013 kita boleh tambah kursus," kata beliau kepada pemberita selepas majlis konvokesyen ke-74 UiTM Sarawak di sini, Isnin.

Pada masa ini UiTM Sarawak menawarkan 25 program diploma dan lima program sarjana muda di kampus Kota Samarahan. Terdahulu, pro-canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub dalam ucapannya selepas menyampaikan diploma dan ijazah kepada 333 siswazah pada sesi satu konvokesyen pagi ini berkata kampus baru UiTM Sarawak di kawasan 35-hektar di Kampung Pinang, Samarahan akan mula beroperasi menjelang 2014.

Secara keseluruhan, katanya, UiTM akan memperkenalkan 200 program baru menggantikan yang sedia kini dan tidak lagi relevan dengan situasi semasa.

Beliau berkata di bawah program pertukaran pelajar, UiTM telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan universiti-universiti dari Australia, Canada dan AS. "Sekumpulan pelajar UiTM akan dihantar ke Wilayah Kunming di China bulan depan untuk menyertai program homestay di bawah program Inap Desa Islam di sana," kata beliau.

Ini merupakan sebahagian daripada latihan perindustrian seberang laut bagi mendedahkan pelajar kepada budaya kerja yang lebih baik untuk bersaing di pasaran global. -BERNAMA

Artikel Lain