suria

2,089 Graduan KPTM Terima Ijazah, Diploma & Sijil Profesional

PUTRAJAYA: Seramai 2,089 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil profesional pada Majlis Konvokesyen Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) baru-baru ini.

Jumlah itu melakar sejarah KPTM apabila menyaksikan bilangan graduan paling ramai sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi dalam pengajaran dan pembelajaran kolej itu.

Ia juga menjadi penunjuk kepada perkembangan dan kemajuan KPTM selain menyumbangkan kepada pengeluaran tenaga kerja di negara ini yang melalui proses transformasi ekonomi menuju status negara maju.

Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu melibatkan graduan dari tujuh kampus cawangan KPTM iaitu Kuala Lumpur, Bangi, Kuantan, Kota Bharu, Alor Setar, Ipoh dan Batu Pahat.

Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, graduan perlu pintar dalam menempatkan diri serta merebut peluang yang ada dan jangan terlalu mengimpikan kerjaya di sektor awam dan swasta sahaja.

“Penghijrahan minda kepada bidang keusahawanan merupakan kerjaya yang amat digalakkan kerana ia merupakan satu pilihan perlu diceburi.

“Terdapat pelbagai pendekatan boleh diterokai seperti perniagaan francais, perkongsian, pemilikan tunggal dan syarikat,” katanya.

Menurut Sohaimi, ia dijadikan dorongan dan persiapan ke arah itu manakala KPTM telah mengintegrasikan kursus keusahawanan ke dalam kurikulum program pendidikannya dilengkapi Pusat Inkubator Usahawan Muda.

KPTM telah melancarkan Pusat Inkubator Usahawan Mudanya pertama di kampus Alor Star baru-baru ini dan bakal diperluaskan di semua cawangannya.

Majlis konvokesyen KPTM disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sesi Sidang Pertama dan Timbalan Menterinya, Datuk Hasan Malek (Sidang Kedua).

Daripada jumlah 2,089 graduan, seramai 613 orang dari bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, 272 (Perakaunan), 718 (Kejururawatan dan Sains), 111 (Kejuruteraan) dan 375 (Pengurusan Perniagaan).

Dalam pada itu, seramai 45 graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar bagi tiga kategori iaitu Anugerah Khas Rektor, Anugerah Perak dan Anugerah Khas Kokurikulum.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain