suria

Penyelidikan Menerusi Kejuruteraan Protein Hasilkan Nilai Komoditi Tinggi

KUALA LUMPUR: Kaedah kejuruteraan protein yang menggunakan tindak balas kimia halus mampu menghasilkan minyak sawit yang lebih berkualiti, kata pakar dalam bidang tersebut.

Ketua Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohd Basyaruddin Abdul Rahman berkata dengan pengunaan kaedah itu yang memerlukan suhu rendah serta menggunakan bahan kimia yang tidak berbahaya, mampu menghasilkan jumlah minyak sawit yang lebih serta mempunyai nilai tambah yang boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan.

"Contohnya pada kebiasaannya, satu kilogram minyak sawit berharga RM3, tetapi kita nak ubah jadi bahan kimia baru yang dipanggil kimia halus dan kita boleh hasilkan 100 kilogram yang berharga mungkin RM200, kita nak beri nilai tambah," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan syarahan "Haute Couture Molecules and Biocatalysts" di UPM, Serdang dekat sini. Beliau berkata kaedah ini juga mesra alam kerana menggunakan bahan-bahan daripada sumber semulajadi serta tidak menggunakan bahan kimia berbahaya selain ia juga dapat menambah nilai tinggi kepada komoditi negara.

"Selain minyak sawit, kita juga boleh gunakan minyak sayuran, minyak jagung, minyak zaitun dan biomass iaitu longgokan atau buangan kelapa sawit," katanya.

Beliau berkata produk yang dihasilkan melalui kaedah tersebut juga mempunyai pelbagai kegunaan kerana ekstrak daripada bakteria atau mikro semasa tindak balas kimia tersebut telah diubah suai.

"Produk yang kita hasilkan juga mempunyai pelbagai kegunaan, selalunya minyak sawit kita guna untuk makan sahaja, tetapi kalau buat untuk kosmetik, farmaseutikal juga boleh guna bahan tersebut kerana ia boleh menyerap ke dalam sel kulit," kata Mohd Basyaruddin.

"Saya punya penyelidikan yang utama adalah untuk menukar hampir keseluruhan tindak balas kimia pada suhu yang tinggi sehingga 300 darjah celcius, guna bahan kimia berbahaya, toksik dan guna sumber tidak boleh diperbaharui.

"Jadi, saya cuba nak ubah kepada sumber yang boleh diperbaharui, tindak balas juga mungkin dijalankan pada suhu bilik atau sekitar 30 ke 40 darjah celsius dan tidak menggunakan bahan berbahaya," katanya. Mohd Basyaruddin berkata produk yang terhasil menerusi kaedah itu juga lebih tulen kerana jika tindak balas kimia berlaku pada suhu 300 darjah celcius, pelbagai tindak balas akan berlaku menjadikan hasil produk itu tidak tulen.

Beliau telah menjalankan penyelidikan tersebut selama tujuh tahun dengan menambah baik kaedah itu menggunakan simulasi komputer yang lebih menjimatkan.

"Kaedah ini memang kebanyakan sudah dipakai oleh industri tetapi kita menambahbaiknya melalui kejuruteraan protein. Sebelum ini orang buat eksperimen sahaja tetapi tidak buat teoritikal," katanya.

"Ini perubahan yang saya buat, saya guna komputer dahulu, sebelum nak buat kajian saya lakukan simulasi komputer, dah faham baru kita buat eksperimen di makmal, ini mengurangkan kos secara drastik," katanya. Beliau berkata kebanyakan industri menghasilkan sesuatu bahan dengan harga yang agak mahal kerana ia memakan masa sehingga lima tahun penyelidikan dalam pelbagai eksperimen.

"Tetapi kalau pakai komputer, mungkin lima hari dah boleh saring dulu, mana dadah (bahan) yang aktif kemudian pilih terus dan buat (eksperimen) di makmal, ini boleh mengelakkan pembaziran," kata Mohd Basyaruddin. - BERNAMA

Artikel Lain