Bubur Lambuk 1Malaysia Surau Al-Jabbar

Diterbitkan: Ahad, 13 Julai 2014 2:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Setiap hari sepanjang Ramadan, jemaah dan sukarelawan surau Al-Jabbar, Setapak Jaya di sini menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai.

Diketuai tukang masak, Supiah Isa, 57, dan dibantu menantunya Ahmad Faiz Muhammad, mereka memulakan persiapan memasak bubur lambuk seawal pukul 10 pagi setiap hari.

Pengagihan bubur lambuk itu menjadi tradisi sejak pembukaan surau itu hampir 12 tahun lepas.

Resepi bubur Supiah diambil daripada resepi bubur lambuk Kampung Baru yang cukup popular dalam kalangan masyarakat ibukota di sini. Walaupun rasanya hampir sama, namun ada sesuatu yang istimewa di sebalik bubur lambuk Surau Al-Jabbar.

Surau Al-Jabbar yang mengambil nama arwah suami Supiah, Syed Jabaludin Syeikh Mohd Idris atau lebih dikenali dengan nama Jabar terletak bersebelahan dengan kawasan Insdustri Kecil Sederhana (IKS) Air Keroh Dalam.

Berdekatan dengannya ialah kawasan perumahan Flat Desa Rejang dan PPR Sri Semarak. 

Sumbangan Bukan Islam

Peniaga di kawasan ini adalah pengusaha bengkel-bengkel kenderaan dan kedai menjual perkakasan rumah yang terdiri daripada pelbagai kaum, Cina, Melayu dan India.

Ganesan, seorang daripada pengusaha barangan lusuh di sini adalah antara penyumbang dalam penghasilan bubur lambuk di Surau Al-Jabbar.

Selain beliau, pemilik kedai tayar yang dikenali dengan nama Addy dan beberapa peniaga kaum Cina lain turut membantu bagi memastikan amalan memasak bubur lambuk yang dilakukan ketika bulan Ramadan di surau itu dapat dijalankan.

"Beberapa hari sebelum puasa, saya mesti tidak lupa menghantar beras ke surau. Ia sudah jadi macam satu kewajiban saya", kata Ganasen.

Tidak kurang 20 kampit beras dihantar setiap tahun sejak Ganesan mula membuka perniagaan di kawasan itu pada lapan tahun lepas.

Keseronokan umat Islam menyambut Ramadan turut dirasai hingga membuatkan beliau ingin turut membantu.

"Jemaah surau di sini sangat baik. Mereka sentiasa hormat dan mesra. Jadi bila tiba Ramadan sayapun terasa nak sama-sama terlibat.

"Bila tahu mereka ada buat bubur lambuk, saya bantu sikit-sikit ikut kemampuan", katanya ketika ditemui Bernama.

Addy pula memberi sumbangan berbentuk wang kepada jawatankuasa surau bagi membantu meringankan pihak surau membeli ramuan bubur lambuk.

Menurut Addy, yang berasal dari Klang, keharmonian masyarakat di sini menyebabkan beliau merasa seronok bergaul tambahan pelanggannya hampir 60 peratus adalah orang Islam.

"Saya berniaga sejak 1998, jadi sudah kenal lama dengan orang surau di sini. Mereka semua baik-baik jadi kena sama-sama bantu.

"Tak kira kaum, agama apapun, kena saling tolong menolong. Kitakan anak Malaysia, 1 Malaysia", katanya.

Hubungan Mesra Terjalin

Ahmad Tajudin, yang memiliki bengkel membaiki kereta di kawasan itu, yang juga jemaah surau Al-Jabbar, mengakui hubungan baik antara peniaga dan jemaah surau memudahkan mereka saling tolong menolong.

Malah ketika sambutan hari raya Aidiladha, peniaga Cina di sini turut membantu menggali lubang tanah bagi melaksanakan ibadah korban.

"Kami berniaga secara sihat. Kami boleh duduk makan dan minum serta bergurau bersama-sama sejak dahulu. Masing-masing hormat dan memahami agama dan adat kaum masing-masing", katanya yang memulakan perniagaan lebih 10 tahun lepas.

Kawasan industri IKS ini, katanya, dibuka pada akhir tahun 1990an bagi memindahkan peniaga-peniaga di kawasan Pasar Malam Kampung Baru yang ditutup termasuk bengkel yang dimiliki oleh Allahyarham Syed Jabaludin.

Allahyarham kemudian membuka surau berkenaan bagi kemudahan peniaga dan pelanggan beragama Islam.

Surau Al-Jabbar Dekat Di Hati

Bagi Supiah, yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, surau Al-Jabbar sangat dekat dihatinya. Selain menyimpan banyak kenangan arwah suaminya, beliau juga suka dengan kerjasama yang diberikan oleh jemaah surau termasuk peniaga-peniaga berdekatan.

"Suami dulupun membuka bengkel di sini, jadi dah kenal rapat dengan orang di sini. Mereka tak kira kaum mudah membantu. Apabila ada kenduri atau keramaian di surau mereka suka menyumbang bersama-sama", katanya yang menetap di Kampung Baru sejak 35 tahun lepas.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir adalah antara jemaah di Surau Al-Jabbar sebelum berpindah ke Kedah.

Supiah menyatakan beliau seronok setiap kali dapat memasak bubur lambuk mengikut resepi yang dipelajarinya, yang dijadikan sebagai amal jariah.

Setiap hari dua periuk besar bubur lambuk akan dimasak bersama-sama jemaah lain dan 350 bungkusan akan diagihkan selepas waktu asar kepada penduduk sekitar dan mereka yang lalu di kawasan itu.

"Sekurang-kurangnya dengan memasak dan sedekahkan bubur lambuk, dapat menghidupkan surau terutama apabila ada orang datang ambil bubur lambuk dan singgah untuk bersolat di sini", katanya.

Biasanya, dalam tempoh tidak sampai satu jam, bungkusan bubur lambuk habis disedekahkan.

"Alhamdulillah tahun ini banyak sumbangan diterima dari duit hinggalah barang-barang masak. Kami masak sampai 27 Ramadan sahaja untuk tahun ini.

"Semoga tahun hadapan ada lagi yang sudi menyumbang untuk kami meneruskan tradisi ini," katanya 


Tags / Kata Kunci: bubur lambuk

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan