suria

‘Jutawan’ palsu dicekup selepas 5 bulan tinggalkan isteri dengan beban hutang majlis kahwin cecah hampir setengah juta

Kedatangan Thananat ke Bangkok dikesan pihak keselamatan menerusi imbasan biometrik di lapangan terbang.

LELAKI yang mengaku dirinya jutawan dan meninggalkan pengantin perempuan dengan sejumlah besar hutang majlis perkahwinan mereka ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Don Mueang Bangkok, Khamis malam.

Thananat Siripiyaporn yang tiba dari Hong Kong itu ditahan sebaik keluar dari pesawat.

Timbalan Komander Divisyen 2 Imigresen, Kolonel Cherngron Rimphadee berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan  kira-kira pukul 9.30 malam sebaik turun dari penerbangan FD505.

Suspek dikehendaki apabila waran tangkap ke atasnya diluluskan mahkamah Bangkok Utara kerana kesalahan menipu.

Kedatangannya ke Bangkok dikesan pihak polis imigresen menerusi imbasan biometrik.

Thananat atau dikenali sebagai Sia Top terbang ke Hong Kong pada 6 Oktober selepas perkahwinannya pada Mei lalu dengan wanita berusia 30an dengan majlis diadakan secara besar-besar di hotel mewah di wilayah Buri Ram.

Thananat (tengah) diiringi pihak keselamatan sebaik tiba di lapangan terbang, Khamis malam.

'Jutawan' itu telah dihadapkan ke makamah pada pagi Jumaat dan permohonan dibuat untuk melanjutkan tempoh penahanannya untuk melengkapkan siasatan.

Kes itu mendapat perhatian apabila lelaki itu telah meninggalkan hutang sebanyak 3.5 juta Baht (RM480,000) kepada isterinya, Da pada 10 Mei lalu.

Pada hari perkahwinan itu, lelaki itu memberikan sekeping cek bertulis 1.6 juta Baht (RM220,000) sebagai mas kahwin.

Bagaimanapun, selepas majlis persandingan itu, cek itu hilang, sekali gus menyebabkan isterinya terpaksa menanggung beban hutang yang banyak.

Sebelum majlis perkahwinan itu, Da dilaporkan membawa bakal suami bertemu ibunya, Noi di majlis pengebumian bapanya dengan memperkenalkannya sebagai 'jutawan'.

Disebabkan anaknya ditinggalkan menantu yang tidak bertanggungjawab Noi yang turut menjaga ibunya yang lumpuh berkata, Da terpaksa meminta bantuan aktivis undang-undang.-Bangkokpost

Thananat, Buri Ram, Bangkok, Hong Kong

Artikel Lain