suria

David Teo bongkar rahsia artis dalam buku

PERNAH produser Metrowealth (MIG) dan pelakon terkenal, David Teo terfikir untuk membongkar rahsia artis yang pernah bekerjasama dengannya dan berdasarkan pengalamannya sendiri dalam sebuah buku.

Ini kerana David telah berpengalaman menerbitkan 37 buah filem dan empat buah drama sebelum ini.

Pastinya dia menyimpan banyak rahsia dan kisah di sebalik pembikinan filem-filem mahupun drama-drama itu.

Namun, David berkata dia bersedia untuk menghasilkan buku yang membongkar rahsia artis itu sesudah bersara nanti.

Ditanya mengapa menunggu hingga waktu ‘pencen’ baru dia akan mendedahkan kisah-kisah yang mungkin tidak diketahui oleh orang ramai ataupun wartawan itu, David menjawab ringkas ‘waktu itu (pencen) saya sudah tidak menghasilkan filem dan drama yang syok sendiri’.

Sejauh itu dia memikirkan tentang perkara yang akan dilakukan pada masa hadapan memandangkan dia pernah berpengalaman sebagai jurujual ‘multi level marketing’ selama 15 tahun dulu.

“Banyak rahsia yang saya tak boleh cakap sehingga saya pencen. Sebab waktu itu, filem saya sudah tak laku dan tak hasilkan filem ‘syok sendiri’.

“Sampai sekarang saya akan menyimpan rahsia yang sangat rahsia tetapi cerita yang tak rahsia baru saya boleh cakap.

“Rahsia yang saya akan bongkarkan ada yang melibatkan artis terkenal kerana dalam industri seni ini lebih banyak kelemahan berbanding kebaikan.

“Semua rahsia itu berdasarkan kisah benar dan menceritakan pengalaman saya sendiri,” kata David ketika meraikan rakan wartawan hiburan dan anak-anak yatim dari Darul Kifayah di Restoran Lemon, The Mines baru-baru ini.

Menurutnya, masuk tahun ini sudah lebih lima tahun MIG meraikan anak-anak yatim dari Darul Kifayah.

Jelas David, tradisi meraikan anak-anak yatim memang sudah lama dipraktikkan memandangkan dia berpegang kepada falsafah berkongsi rezeki dengan orang lain.

Tambahan pula, dia mempraktikkan semangat ‘industri’ dan bukannya semangat individu.

“Falsafah saya betul dan bukannya gosip. Saya berpegang kepada tiga nilai falsafah iaitu ikhlas, doa dan berkongsi rezeki.

“Kalau nak membuat sesuatu itu perlu mula dari hati yang ikhlas. Kita juga perlu berdoa selalu secara berkumpulan kalau ingin kekal lama,” ujarnya yang mensasarkan untuk membikin 100 buah filem menjelang tahun 2020.

Bercerita mengenai filem terbarunya, David berkata filem ‘Senario The Movie: Beach Boy’ akan ditayangkan pada 19 November ini, Santau (10 Disember) manakala empat buah filem yang belum diketahui tarikh tayangannya adalah ‘V3 Seorang Jalanan’ yang pada asalnya menggunakan tajuk ‘Rempit V3’, ‘Aznan Sempit’, ‘Zoo’ dan ‘Semerah Cinta Stiletto’.

Dalam perkembangan lain, David juga sedang dalam proses menghasilkan buku biografi mengenai dirinya.

“Setakat ini, saya sudah mengumpul banyak bahan seperti gambar, video dan falsafah untuk muatkan dalam buku biografi saya.

“Saya belum pasti bila ia akan diterbitkan kerana penulisnya juga belum ada lagi.

“Yang pasti, saya tidak akan membuat buku biografi untuk syok sendiri tetapi sebagai motivasi..,” ulasnya.

Drama bersiri terbitan MIG adalah ‘Mertua Vs Menantu’, ‘Jangan Pandang Belakang’, ‘Mama Murai’ dan ‘3 Serumah’.

Sementara antara filem pula adalah Congkak, Senario The Movie - Episod 1, Jangan Tegur, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang, dan Syukur 21.

Artikel Sebelum

MJ mempunyai satu senarai 'musuh'

Artikel Lain