suria

Thanabalan Seakan-Akan Thomas Muller

N.Thanabalan.

SEREMBAN: Sejurus aksi Malaysia membenamkan Indonesia pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada malam Sabtu, nama N.Thanabalan menjadi bualan penyokong bola sepak tempatan.

Penyerang Felcra FC itu menjaringkan gol tunggal pada minit ke-87 menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Muhammad Nor Azam Abdul Azih dan melayakkan Malaysia bertemu Thailand dalam pentas final di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Jurulatih Negeri Sembilan Mohd Asri Ninggal yang pernah melatih wira negara ini berkata Thanabalan merupakan seorang yang rajin dan mempunyai naluri untuk menjaringkan gol ataupun 'scoring instinct'.

Mohd Asri berkata Thanabalan merupakan seorang pemain yang selalu berada di tempat dan masa yang tepat untuk menjaringkan gol dan itu adalah kelebihannya kerana mempunyai sentuhan untuk menghasilkan jaringan.

"Thana merupakan seorang pemain yang tahu untuk berada di mana ketika hantaran dilakukan dan aksi yang ditunjukkan beliau ini seakan-akan pemain Jerman Thomas Muller yang bijak menghidu peluang untuk menjaringkan gol.

"Sangat sukar untuk mencari pemain seperti Thanabalan dan saya gelarkan beliau sebagai seorang penyerang yang terbaik dalam kawasan penalti untuk merobek gawang pasukan lawan," katanya.

Mohd Asri berharap agar Thanabalan segera bebas daripada kecedaraan dan dapat sekali lagi memperlihatkan sentuhan jaringannya ketika bertemu Thailand seterusnya memenangi ibu kepada segala pingat pada temasya Sukan SEA KL2017 ini.

Beliau berkata wira negara ini patut dijadikan contoh oleh anak muda yang lain kerana Thanabalan bukan sahaja cemerlang dalam kariernya tetapi turut mementingkan keluarganya kerana Thanabalan membantu menyara keluarganya melalui kariernya dalam bola sepak.

"Saya berharap agar Malaysia dapat mengalahkan Thailand dengan anggaran jumlah jaringan sebanyak 2-1 pada pertemuan final ini nanti," katanya. - BERNAMA

Kl2017, N.Thanabalan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain