suria

Syafiq terlepas peluang ‘layan’ Indonesia di laman sendiri

Syafiq terlepas peluang bertemu pasukan Indonesia esok.

PENYERANG kebangsaan, Syafiq Ahmad terkeluar daripada senarai utama skuad Tan Cheng Hoe menjelang perlawanan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bertemu Indonesia.

Pemain berusia 24 tahun itu serta Matthew Davies (pertahanan) digantung permainan bertemu skuad Garuda gara-gara mengumpul dua kad kuning ketika aksi menentang Thailand dan Vietnam sebelum ini.

Sebelum ini Syafiq berjaya meledak lima gol dalam sembilan perlawanan termasuk dua aksi persahabatan dan ketika kemenangan 3-2 di Jakarta pada 25 September lalu.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata, dia agak kecewa kerana terlepas peluang bermain menentang Indonesia ini.

"Saya gembira kerana kita mencatat kemenangan (ke atas Thailand) sekaligus mengekalkan kita untuk terus berjuang pada pusingan seterusnya. Kami bekerja keras dan layak menang.

"Sudah tentu, saya kecewa kerana terlepas aksi ini tetapi tidak ada apa yang boleh saya buat.

"Saya berharap rakan-rakan sepasukan akan terus berjuang. Kita adalah sebuah keluarga. Kami mungkin datang daripada kelab berbeza, tetapi kita adalah satu dalam pasukan negara," ujar Syafiq.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain