suria

Perlawanan JDT-SPRM Simbolik Banteras Rasuah

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad (kanan) menunjukkan replika bangunan baharu SPRM di Putrajaya kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Facebook/Johor Southern Tigers

PETALING JAYA: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menjadikan perlawanan persahabatan dengan pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai acara tahunan, simbolik jalinan kerjasama dalam membanteras rasuah.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers pada Selasa, perlawanan tersebut yang diadakan di Pusat Latihan Tertutup Dato' Suleiman Mohd Noor, Johor Bahru pada Selasa malam menyaksikan JDT berjaya menewaskan pasukan SPRM 9-0.

Acara tersebut turut dimeriahkan dengan majlis barbeku bagi meraikan hubungan erat yang terjalin antara pemain kedua-dua pasukan.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan memberi amaran akan terus bertindak agresif memerangi rasuah melibatkan semua pihak dalam industri bola sepak negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, kegiatan rasuah dalam sukan yang belum mencapai tahap serius bukan faktor untuk pihaknya tidak terus bertindak bagi menanganinya.

Pada April lalu, mStar Online melaporkan, beberapa pemain bola sepak tanah air berada dalam radar SPRM setelah menjalankan risikan.

Katanya, satu sebab gejala rasuah berlaku dalam arena bola sepak adalah kerana mendapat desakan daripada bookie.

JDT, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain