suria

Jun Hoong Terima Pangsapuri, RM15,000 Daripada Negeri Perak

IPOH: Penerjun negara Cheong Jun Hoong menerima insentif sebuah unit rumah pangsapuri di Bandar Meru di sini bernilai RM320,000 serta wang tunai sebanyak RM15,000 daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan kepada atlet itu yang telah merangkul pingat perak di Sukan Olimpik Rio.

Insentif disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis pada Khamis malam.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Shahrul Zaman berkata pemberian insentif tersebut adalah sebagai penghargaan kepada usaha keras Jun Hoong untuk menempa kejayaan di Sukan Olimpik dan membawa pulang pingat untuk negeri dan negara.

"Jun Hoong akan menjadi ikon kepada atlet di Perak yang mana mereka (atlet) harus menyedari bahawa sekiranya Jun Hoong boleh melakukannya, mereka juga boleh capai kemenangan di peringkat dunia," katanya kepada pemberita.

Jun Hoong yang bergandingan dengan Pandelela Rinong memenangi pingat pertama negara di Rio menerusi acara terjun 10m platform seirama wanita.

Dalam pada itu, Shahrul Zaman berkata pemberian rumah pangsapuri Casa Kayangan@MERU itu adalah atas inisiatif kerajaan negeri untuk membantu kehidupan atlet itu yang telah berkecimpung dalam arena sukan selama 17 tahun.

"Bukan senang bagi seseorang atlet untuk layak ke Sukan Olimpik dan mencapai kejayaan, tetapi Jun Hoong telah berkerja keras dan beliau berjaya merangkul pingat dalam sukan itu," katanya.

Menurutnya, rumah tersebut dipilih berhadapan dengan kolam renang, namun Jun Hoong diberi peluang untuk memilih unit yang beliau mahu.

Projek pembinaan pangsapuri moden mampu milik yang bakal terdiri daripada dua buah menara setinggi 25 tingkat setiap satu itu akan siap pada 2018.

Sementara itu, Jun Hoong berkata beliau terkejut dengan pemberian insentif sebuah unit rumah itu dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menghargai usahanya untuk mencapai kejayaan.

"Saya tidak sangka dan terharu dengan pemberian insentif ini. Sudah tentu ia (pemberian insentif) menjadi motivasi kepada saya untuk melakukan lebih baik dalam pembelajaran saya dan sukan pada masa akan datang.

"Untuk mencapai kejayaan kita perlu ada komitmen, disiplin dan konsisten,"katanya.

Terdahulu Jun Foong yang merupakan bekas murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chooi di sini memberi motivasi tentang pengalaman dan kejayaannya dalam bidang sukan kepada murid-murid sekolah tersebut.-Bernama

Cheong Jun Hoong, Insentif

Artikel Sebelum

Wenger Guna Mustafi Pujuk Ozil

Artikel Berikut

Giggs, Neville Lawat JDT

Artikel Lain