suria

Kasma Daniel Sambut Aidilfitri Bersama Rossi

Kasma Daniel

PETALING JAYA: Demi mengejar impian bergelar pelumba profesional, bakat muda Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) negara, Kasma Daniel Kasmayudin terpaksa menanggung rindu berjauhan dengan keluarga pada hari raya kali ini.

Anak muda kelahiran Johor Baru ini antara lima pelumba berbakat yang dipilih oleh Yamaha Motor Co. Ltd. untuk berguru dengan pelumba terbaik dunia, Valentino Rossi menerusi Kem Master, VR46 Riders Academy, milik pelumba kelahiran Itali itu di Tavullia bermula 4 hingga 8 Julai ini.

Berpuasa di perantauan bukan perkara baharu bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti 2, Skudai, Johor itu tetapi beraya bersama Rossi pastinya menjanjikan pengalaman yang cukup istimewa.

"Sedih sudah tentu kerana sesiapa sahaja ingin menyambut hari raya bersama keluarga. Hati ini juga pastinya sayu kerana tidak dapat bersalaman memohon keampunan daripada kedua ibu bapa saya.

"Berlatih di samping Rossi amat mengujakan tapi berhari raya bersamanya sesuatu yang luar biasa," katanya kepada mStar Online.

Kasma Daniel berkata beliau enggan terlalu melayan emosi sebaliknya akan menguatkan semangat kerana menganggap peluang keemasan berguru bersama idolanya hanya datang sekali seumur hidup.

"Hari raya kita sambut setiap tahun tapi peluang ini hanya hadir sekali, jadi saya yakin siapapun yang terpilih sudah tentu tidak akan melepaskannya," katanya.

Menurut pelumba berusia 16 tahun itu, dia tidak akan berasa keseorangan kerana turut ditemani rakan dari Indonesia, Galang Hendra Pratama yang turut bersama meraikan hari raya di perantauan.

"Saya ada merancang untuk pakai Baju Melayu bersama Galang di pagi raya dan bergambar bersama Rossi. Insya-Allah saya akan kongsi gambar itu dengan peminat nanti," katanya.

Rossi memberi penerangan kepada pelumba muda yang berlatih di akademi miliknya.

Tiga lagi pelumba lain yang terpilih menyertai kem itu adalah Peerapong Loiboonpeng (21, Thailand), Soichiro Minamimoto (16, Jepun), dan Imanuel Putra Pratna (19, Indonesia).

Sebelum berangkat ke Itali, Kasma Daniel berkata ibunya,  Sharifah Noorpaiezah Syed Idris, 45, sibuk menyiapkan makanan kegemarannya untuk dinikmati semasa berbuka puasa dan menyambut raya nanti.

"Ibu antara orang yang paling sibuk. Saya minta dia bekalkan serunding, tart nenas, rendang daging, nasi impit dan ketupat. Nanti bolehlah saya makan bersama rakan-rakan di sana," katanya.

Ketika ditanya mengenai persiapannya menjelang kem latihan tersebut, pelumba berusia 16 tahun itu berkata sepanjang bulan Ramadan beliau banyak menumpukan latihan di gimnasium.

"Latihan seperti biasa tetapi saya lebih kerap berlatih di gimnasium selepas selesai berbuka untuk meningkatkan tahap kecergasan dan stamina.

"Saya juga perlu menjaga kesihatan dan pemakanan supaya tidak jatuh sakit kerana keadaan cuaca yang berbeza di sana nanti," katanya.

Peserta yang dipilih menyertai program eksklusif itu dinilai berdasarkan umur, kedudukan mata dalam kelas AP250 (ARRC) dan beberapa faktor lain.

Sebagai rekod, berdasarkan kedudukan untuk tahun 2015, Kasma berjaya meraih tempat keenam secara keseluruhan, manakala pada 2016 di tangga ke-10.

Rossi dilaporkan bakal menjadi tenaga pengajar sepenuh masa pada kem tersebut.

FIM, Valentino Rossi, Yamaha

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain