suria

Atlet Rusia 'Bebas' Dadah Boleh Merayu - Presiden CAS

ATLET olahraga Rusia berkemungkinan besar terlepas aksi Sukan Olimpik 2016 selepas tempoh penggantungan pasukan itu daripada beraksi pada kejohanan antarabangsa dilanjutkan pada Jumaat susulan skandal doping.

Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) bermesyuarat di Veinna bagi mempertimbangkan untuk menarik balik penggantungan tersebut.

Namun keputusan sebulat suara dicapai bahawa Rusia tidak memenuhi segala kriteria yang ditetapkan untuk menangani masalah doping yang menyelubungi negara itu.

"Walaupun terdapat peningkatan yang ketara, beberapa kriteria penting masih belum memuaskan hati.

"Sikap toleransi apabila melibatkan isu doping tidak wajar diubah secara drastik. Ketua jurulatih atlet Rusia dan kebanyakan atlet kelihatan belum bersedia untuk mengakui sejauh mana isu doping dan mengabaikan peraturan tersebut," kata Rune Andersen, ketua pasukan petugas bebas IAAF.

Sementara itu, atlet Rusia yang didapati bebas bahan terlarang itu akan merayu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan agar penggantungan itu ditarik balik.

Presiden Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), John Coates berkata beliau menjangkakan atlet Rusia yang negatif ujian dadah untuk mengemukakan rayuan.

"Saya Presiden CAS, saya fikir terdapat peluang untuk merayu dan saya boleh bayangkan seseorang yang boleh mewujudkan integriti masing-masing.

"Mudah-mudahan pertemuan pada minggu depan akan menetapkan beberapa garis panduan bagi persekutuan antarabangsa yang sekali lagi berperanan untuk membuat keputusan mengenai perkara itu," katanya.

Artikel Lain