Sukan Malaysia:MSN Janji Penginapan, Pengangkutan, Makanan Terbaik

Diterbitkan: Selasa, 24 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGI: Kemudahan penginapan, pengangkutan dan makanan akan diberi keutamaan penganjur Sukan Malaysia ke-14 di ibu negara bulan depan bagi memberikan perkhidmatan terbaik untuk para peserta, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong.

Beliau berkata MSN tidak memandang remeh hal berkaitan sedemikian, yang sebelum ini kerap menjadi rungutan para peserta kontinjen dan pegawai negeri yang mengambil bahagian dalam temasya sukan tersebut, kerana ia boleh menjejaskan nama baik penganjur.

"Kita sedia maklum penganjuran Sukan Malaysia pada setiap kali memang tidak sunyi dari masalah. Saya harap kali ini kita akan memastikan semua masalah seperti hal penginapan, makanan dan pengangkutan dapat diatasi dengan sebaiknya.

"Malah penyediaan makanan akan kita titik-beratkan bagi memastikan atlet mendapat makanan seimbang iaitu bukan sahaja dengan kadar kuantiti malah meliputi secara kualiti," katanya kepada pemberita selepas melawat perkampungan Sukan Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini Isnin.

Mengenai perkampungan sukan di Kolej Pendeta Za'ba, UKM di sini, Zolkples berkata beliau yakin kolej, yang mampu menempatkan 3,700 orang, sudah bersedia menerima kehadiran kontinjen bermula 28 Mei ini.

Seramai 3,336 atlet dan 1,456 pegawai termasuk jurulatih akan memenuhi perkampungan sukan tersebut dan selebihnya akan ditempatkan di Kolej Keris Mas, yang terletak berhampiran.

Beliau berkata atlet bagi 17 acara dipertandingkan akan ditempatkan di Bangi manakala seramai 500 atlet bagi dua lagi acara iaitu futsal dan bola tampar pantai akan ditempatkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Sukan Malaysia Kuala Lumpur 2011 dari 2 Jun hingga 12 Jun yang melibatkan 19 acara sukan akan berlangsung di beberapa venue di ibu negara, Bangi dan Shah Alam.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan