Skuad Paralimpik Renang Mahu Kepakaran Sains Sukan Australia

Diterbitkan: Khamis, 13 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad Paralimpik Renang kebangsaan mahu mendapatkan khidmat kepakaran sains sukan Australia bagi mencapai tekad untuk meraih pingat pada temasya Sukan Paralimpik London 2012.

Jurulatih skuad renang paralimpik kebangsaan, Gan Kok Lee berkata pasukan renang kebangsaan Australia mempunyai teknologi dan kepakaran biomakenik antara yang terbaik di dunia dan perenang paralimpik negara perlu mendapat khidmat itu untuk memperbaiki keupayaan masing-masing.

"Perenang paralimpik negara berjaya buktikan bahawa mereka mampu bersaing di peringkat Asia pada Sukan Para Asia di Guangzhou, China pada Disember lepas.

"Untuk pergi ke peringkat dunia mereka perlu diberi latihan dan bantuan khas agar mampu setanding dengan perenang paralimpik dari Eropah seperti Russia, Amerika Syarikat, Jerman dan Australia," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Gan berkata beliau telah menghantar cadangan itu kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Sehingga ini, beliau berkata tiga anak didiknya layak untuk beraksi di London pada 2012 iaitu Zul Amirul Sidi Abdullah, Jamery Siga dan Yusuf Dewa manakala seorang lagi perenang paralimpik negara, Fraiden Dawan dijangka mampu memperoleh kelayakan itu hujung tahun ini.

Gan berkata beliau juga membuat cadangan kepada MSN untuk menghantar keempat-empat perenang terbaiknya beraksi di Terbuka British pada April.

"Selain itu saya juga bercadang untuk menghantar mereka ke Terbuka Kanada pada Julai bagi mengukur tahap kemampuan mereka sebelum beraksi di Paralimpik London pada 2012 nanti," katanya.

Pada temasya Sukan Asia di Gungzhou 2010 skuad bimbingan Gan membawa pulang tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Tiga pingat emas disumbangkan oleh Yusup Dewa (Acara renang 100M gaya bebas lelaki kategori S6), Fraidden Dawan (Memperbaharui rekod Asia dalam acara renang 400m gaya bebas lelaki kategori S10) dan Zul Amirul Sidi Abdullah (Acara 50m kuak lentang lelaki kategori S5). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan