Persekutuan Lumba Basikal Antarabangsa Lulus Perdaftaran TCT

Diterbitkan: Sabtu, 8 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Pro-Asia Cycling (TCT) yang akan menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan ini, menerima berita gembira apabila pendaftarannya diluluskan Persekutuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat berkata ini bermakna TCT dibenarkan menyertai semua kejohanan di peringkat benua.

"Saya berasa sangat gembira kerana pendaftaran TCT sudah diluluskan UCI dua hari lepas," katanya, Sabtu.

Beliau berkata TCT merupakan idea Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bagi mempopularkan Terengganu menerusi sukan basikal ke seluruh dunia.

Katanya, TCT juga merancang menyertai semua kejohanan lumba basikal seperti di Thailand, Indonesia, Iran, Korea dan Jepun. Rozi berkata TCT telah menamakan sembilan pelumba untuk mewakilinya dalam kejohanan LTdL yang bermula 23 Jan hingga 1 Feb ini.

Mereka ialah Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohammad Saufi Mat Senan, Yusrizal Usoff, Mohd Shobry Abdullah, Shinichi Fuikushima, Phuchong Udomsin dan Motoi Nara.

Beliau berkata bagi memantapkan kayuhan pelumba, pengurusan TCT bersetuju menghantar empat pelumba tempatan berlatih di Chiang Rai yang terletak di sempadan Thailand-Kemboja.

Mereka ialah Anuar, Mohd Harrif, Mohd Shahrul serta Mohammad Saufi dan mereka bertolak semalam bagi menyertai pelumba import yang sudah berada di sana.

Pelumba skuad TCT yang lain iaitu Yusrizal, Mohd Shobry, Mohamad Faiz Sharifuddin Abd Kadir, Mohd Nor Umardi Rosdi serta Nur Amirull Fakhruddin Mazuki pula diletakkan di bawah bimbingan jurulatih Syed Hussein Syed Mazlan dan mereka akan menjalani latihan di sini.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan