UTHM Sasar Lahirkan 30 Peratus Pesilat Kebangsaan Pada 2015 - Sukan | mStar

UTHM Sasar Lahirkan 30 Peratus Pesilat Kebangsaan Pada 2015

Diterbitkan: Jumaat, 24 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berhasrat menjadi pusat kecemerlangan Pencak Silat mensasarkan untuk menghasilkan 30 peratus daripada pesilat kebangsaan pada tahun 2015 nanti, yang terdiri daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Timbalan Naib Canselornya Prof Dr Amir Hashim Mohd Kassim berkata pengiktirafan UTHM menjadi pusat kecemerlangan sukan berkenaan awal tahun ini membolehkan ia menumpukan usaha yang lebih khusus kearah kecemerlangan pencak silat.

"Kami yakin dapat melahirkan 30 peratus atlet pencak silat negara kerana UTHM sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) bagi menjalinkan kerjasama dalam menggerak dan membangunkan aktiviti sukan pencak silat," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Kejohanan Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri (TPM) 2010.

Dr Amir Hashim berkata 500 pesilat dari 28 pasukan daripada IPT tanah air dan beberapa pasukan jemputan dari luar negara akan menyertai kejohanan itu yang akan berlangsung di IO1 Mall Kulai, Johor, mulai Rabu ini.

"Ini merupakan kejohanan yang julung-julung kali diadakan dan merupakan sebagai tanda sokongan Universiti kepada dasar kerajaan terutama pada Dasar Pembangunan Sukan IPT dan juga sebagai persiapan bagi pasukan pelapis untuk negara," katanya.

Beliau berkata antara pasukan negara luar yang mengesahkan penyertaan ke kejohanan itu ialah Indonesia, Singapura dan Vietnam.

"Pasukan dari Brunei pada tahun ini bagaimanapun tidak dapat menghantar wakil atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan," katanya.

Dua kategori yang akan dipertandingkan ialah kategori IPT dan kategori remaja bawah 17 tahun, dengan 21 pingat ditawarkan untuk kategori IPT dan 24 pingat bagi kategori remaja.

Kejohanan ini mendapat sokongan daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku penaung. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan