Cikgu Choo Penerima Anugerah Wanita Dan Sukan MOM 2010 - Sukan | mStar

Cikgu Choo Penerima Anugerah Wanita Dan Sukan MOM 2010

Diterbitkan: Jumaat, 24 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerana dedikasinya demi kemajuan sukan bola jaring di negara ini, Choo Kon Lee atau lebih dikenali sebagai 'Cikgu Choo' di kalangan atlet, dipilih sebagai penerima Anugerah Wanita dan Sukan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2010 yang diadakan di Stadium Tertutup MOM, Khamis.

Choo, 46, yang mengetuai pasukan bola jaring remaja Malaysia di Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia di mana pasukan itu berjaya menjadi juara empat kali berturut-turut Sri Lanka (2004), India (2006), Hong Kong (2008) dan India, Julai tahun ini.

"Saya merasa bangga kerana berjaya mengekalkan rekod kejohanan untuk empat kali berturut-turut. Semua pemain telah melakukan yang terbaik pada setiap kejohanan.

"Jiwa saya adalah bola jaring dan kalau boleh saya mahu meneruskan kecemerlangan sukan ini khususnya di kalangan pemain remaja," kata Choo, yang masih berkhidmat sebagai guru di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Menurut Choo, beliau juga berjaya menempatkan pasukan remaja negara di kedudukan kelapan, Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia di Wales pada 2002.

Choo dan tujuh yang lain menerima anugerah mereka yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Penerima lain adalah Christina Chee Shin Liang (Anugerah Kepimpinan Wanita dan Sukan), Normala Abdul Rashid (Anugerah Pembangunan Sukan di kalangan Komuniti), Lucy Read (Anugerah Pembangunan Sukan Peringkat Akar Umbi) dan Jamhariah Jaafar (Anugerah Wartawan Sukan Wanita).

Ibu bapa kepada pemain badminton wanita negara, Wong Mew Choo, Wong Loy Choy dan Kok Mee Fong, menerima Anugerah Perkongsian Wanita dan Sukan.

Sementara itu, bekas olahragawati negara Zaiton Othman, dianugerahkan Diploma Pencapaian Wanita dan Sukan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa. Zaiton, 51, merupakan penerima ketujuh Anugerah Wanita dan Sukan MOM tahun lepas. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan