Kerajaan Tiada Masalah Anjur Sukan SEA 2019

Diterbitkan: Ahad, 5 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Langkah kerajaan membatalkan hasrat membida penganjuran Sukan Asia pada 2019 akan membolehkan kerajaan menumpukan kepada soal penganjuran Sukan Sea yang akan diadakan pada tahun yang sama, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata setakat ini kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menjadi penganjur Sukan Sea kerana ia tidak memerlukan belanja besar seperti Sukan Asia.

"Kebiasaannya penganjuran Sukan Sea dilakukan secara penggiliran di kalangan negara Asean dan kita dijadualkan menjadi tuan rumah pada 2019 selepas Indonesia tahun depan, diikuti Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kemboja atau Brunei (2017).

"Kita tidak ada masalah untuk menunaikan tanggungjawab itu, lagipun kita telah mempunyai segala kemudahan sukan yang lebih baik berbanding beberapa negara Asean lain seperti Kemboja atau Myanmar," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata demkian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi semalam yang mengatakan Malaysia masih berpeluang menganjurkan Sukan Sea pada tahun 2019 setelah kerajaan membatalkan hasrat membida penganjuran Sukan Asia pada tahun yang sama.

Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk menganjurkan Sukan Asia 2019, setelah usul untuk membida penganjuran tersebut ditolak oleh Kabinet tiga minggu lepas.

Ia terpaksa dilakukan setelah mengambil kira kos penganjuran yang mencecah sehingga RM1.6 bilion dan tidak termasuk kos untuk membaik pulih kemudahan yang sedia ada.

Ahmad Shabery berkata langkah membatalkan hasrat membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia itu juga akan membolehkan kementerian menumpukan usaha mempersiapkan para atlet selain menaik taraf kemudahan sukan yang sedia ada.

Beliau menegaskan langkah membatalkan cadangan itu dilakukan setelah mengambil kira pandangan rakyat ditambah dengan keadaan ekonomi pada masa kini dan bukannya kerana kerajaan tidak mementingkan pembangunan sukan di negara ini.

"Bagaimanapun, jika ada mana-mana badan swasta atau korporat yang setuju untuk menampung sebahagian daripada kos penganjuran itu kementerian bersedia membawa perkara itu ke Kabinet untuk dipertimbangkan sekali lagi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan