Malaysia Sasar Lebih Banyak Emas Di Kejohanan Atletik Masters Asia

Diterbitkan: Khamis, 22 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan Atletik Masters Malaysia bersiap sedia dalam usaha untuk merangkul 35 pingat emas di Kejohanan Atletik Masters Asia ke-16 yang dianjurkan Malaysia bermula 6 hingga 12 Disember ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Atletik Masters Malaysia (MMAA) yang juga pengurus pasukan S.Sivapragasam berkata mereka mensasarkan 12 gol lebih daripada kejohanan lalu di Chiang Mai, Thailand tahun lepas.

Beliau berkata MMAA dan Malaysia akan menghoskan kejohanan itu buat kali kedua selepas yang pertama pada 1990 (Kejohanan Atletik Veteran Asia) yang menyaksikan penyertaan 1,024 atlet dari sembilan negara.

"Untuk kejohanan ini, kami menjangkakan kontinjen 150 atlet Malaysia termasuk M.Ramakrishnan, bekas pemenang pingat emas 800m, 1500m, 5000m dan 2000SC; Lee Shew Kheng, bekas pemenang pingat gangsa jalan kaki 5000m di Kejohanan Masters Asia ke-15 dan Anto Keney Martin yang memenangi emas di Kejohanan Antara Bank Kebangsaan 2009," katanya.

Kejohanan itu dijangka menarik penyertaan 1,500 hingga 2,000 peserta dari 24 negara untuk 462 acara akhir termasuk trek dan padang. Sivapragasam berkata acara akhir ialah Perlumbaan Jalan Raya Masters Asia 2010 (acara sub AMA) yang akan berlangsung di Dataran Merdeka.

"Lelaki dan wanita yang dilahirkan pada atau sebelum 8 Dis, 1970 layak menyertai pertandingan itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan