suria

Zamri Terpantas Ujian Masa Di Gong Badak

MOHD Zamri Baba tampil bersemangat di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Kuala Terengganu dan bersedia untuk mempertahankan gelaran juara di sini apabila mencatatkan masa terpantas sesi ujian masa Pusingan 5 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di sini petang semalam.

Zamri yang muncul juara di sini musim lalu, menyifatkan keupayaan jentera selain bantuan cuaca dan keadaan litar yang cukup baik adalah faktor yang membantu dirinya mencipta masa terpantas sesi ujian di sini.

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing itu mencipta masa 42.495 saat mengatasi bekas rakan sepasukan, Azlan Shah Kamaruzaman (42.522 saat) dan seteru utamanya, Elly Idzlianizar Ilias (Shell Advance Yamaha Maju Motor) di tempat ketiga dengan masa 42.549 saat.

“Saya akui cukup terdesak untuk memenangi gelaran juara ketika ini. Sepanjang empat pusingan lepas, saya belum lagi bergelar juara. Saya harap Gong Badak memberi tanda aras perjuangan saya. Dari segi matematik, saya juga turut berpeluang untuk bersaing merebut gelaran juara keseluruhan musim ini.

“Dengan jentera cukup kompertitif selain keadaan cuaca yang bagus, keyakinan untuk memberi persembahan terbaik pada perlumbaan esok tetap tinggi. Atas rekod, semua pencabar mempunyai masa yang sama namun saya harap kelebihan memihak kepada saya esok,” ujarnya.

Seperti Zamri, Md Adli Salihin turut tampil penuh bersemangat untuk memadam dua kekecewaan yang dialami pada saingan musim ini selepas masalah mekanikal pada jentera menghalangnya untuk meraih keputusan podium.

Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang itu mencatat masa 43.070 saat mengatasi catatan yang dilakukan dua rakan sepasukan, Zaidy Md Zaifaizal (43.395 saat) dan Md Rozaiman Md Said (43.420 saat) selain turut mengecewakan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline, Md Iskandar Raduan (43.477 saat).

“Persembahan saya tetap sama seperti dua peringkat perlumbaan (Sepang dan Batu Kawan) sebelum ini cuma kali ini jentera kami dibekalkan ekzos baru model YY Pang SP. Ia nyata berbeza dan jentera pada hari ini tampak lebih kompertitif.

“Nyata perubahan ini memberi semangat dan keyakinan untuk saya beraksi dengan lebih baik pada perlumbaan sebenar esok. Ia juga mendorong saya untuk mensasarkan podium juara atau setidak-tidaknya menaiki podium buat kali kedua,” kata Adli.

Seperti impian besar Norizman Ismail dalam CP130, Md Adib Rosley turut berada situasi yang sama untuk memburu kemenangan ketiga berturut-turut.

Namun berbeza dengan Norizman, pelumba Motul Yamaha YY Pang itu jelas berpeluang cerah sesudah merakam catatan terpantas sesi ujian masa kelas Wira.

Catatan 44.435 saat pada lap ke-13 meletakkan dirinya cukup selesa untuk memulakan cabaran perlumbaan akhir esok.

Selepas berjaya memenangi perlumbaan Pusingan 3 di Litar Sepang dan Pusingan 4 di Batu Kawan lepas, Adib kini boleh melebarkan rekod peribadinya untuk memenangi saingan akhir di trek Gong Badak esok.

“Secara jujur, saya memang berhasrat menang di sini (Kuala Terengganu). Segalanya berjalan lancar dari jentera dan strategi perlumbaan. Hanya sedikit masalah pada permukaan litar di sini dania agak beralun terutamanya pada selekoh ke-6 dan oleh itu saya perlu berhati-hati melalui selekoh tersebut,” katanya.

Adib bagaimanapun tetap menghormati pencabar yang lain dan memberi gambaran bahawa tiga pencabarnya esok iaitu pelumba Caviaga Modenas Md Fitri Ashraf Razali (44.548 saat), pelumba Modenas FortyOne Racing, Md Syawalludin Md Zaki (44.749 saat) dan rakan sepasukan Md Azhar Abd Jalil (44.770 saat) yang berada dalam senarai empat pelumba terpantas sesi ujian masa sebagai pencabarnya esok.

KEPUTUSAN SESI LATIHAN

KATEGORI CP130

1.Mohd Zamri Baba (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM) 42.495s

2.Azlan Shah Kamaruzaman (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) 42.522s

3.Elly Idzlianizar Ilias (Shell Advance Yamaha Maju) 42.549s

4.Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) 42.627s

5.Ahmad Fuad Baharudin (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM) 42.817s

KATEGORI CP115

1.Mohd Adli Salihin (Motul Yamaha YY Pang) 43.070s

2.Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) 43.395s

3.Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang) 43.420s

4.Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM) 43.470s

5.Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) 43.477s

KATEGORI WIRA

1.Mohd Adib Roslet (Motul Yamaha YY Pang) 44:435s

2.Mohd Fitri Ashraf Razali (CAviaga Modenas Cilik Racing) 44:548s

3.Mohd Syawalluddin Mohd Zaki (Modenas FotryOne Racing) 44.749s

4.Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang) 44.770s

5.Zulsyafiq Rosli (MOS Yamaha Racing) 44.810s.

Artikel Lain