suria

Raja Muda Perlis Mahu Sukan Ragbi Peringkat Sekolah Diperluaskan

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Syed Sirajuddin mahu sukan ragbi terus dikembangkan di semua sekolah di negeri ini.

Ini kerana sukan itu yang telah mula bertapak di beberapa buah sekolah di negeri ini juga boleh membentuk nilai murni termasuk semangat kerjasama yang tinggi di kalangan para pemainnya.

Sukan itu yang juga dikenali sebagai "Gentlemen Games" sesuai disertai oleh golongan muda, titah baginda ketika merasmikan kejohanan Ragbi Laksamana 10 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau dekat sini malam tadi.

Kejohanan selama tiga hari itu bermula semalam bersempena sambutan Hari Keputeraan ke-67 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sebanyak 24 pasukan menyertai kejohanan itu termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Putra Jaya Scorpions, Sikamap Gunners, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Navy ORCA, Polis Perlis, Kubang Pasu RC, Rejimen Sempadan dan KJLJ Diraja.

Turut menyertai kejohanan itu ialah 12 pasukan bagi kategori sekolah menengah di seluruh negara termasuk Sekolah Menengah Bandar Penawar, Sekolah Menengah Teknik Kuala Kangsar, Sekolah Menengah King Edward, Sekolah Menengah Vokasional Arau, Sekolah Menengah King George V, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Arau. Sempena perasmian itu, turut diadakan pertandingan makan buah tembikai yang dimenangi oleh pasukan KJLJ Diraja. - BERNAMA

Artikel Lain