Indonesia Lebih Gerun Dengan China - Sukan | mStar

Indonesia Lebih Gerun Dengan China

Diterbitkan: Jumaat, 7 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan Indonesia Taufik Hidayat tidak melihat Malaysia sebagai pasukan yang perlu digeruni pada Kejohanan Piala Thomas yang akan bermula Ahad ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

Beliau berkata, pasukan Malaysia tidak mempunyai kekuatan yang seimbang dari segi pemain perseorangan dan beregu, yang lebih banyak meletakkan harapan pada perseorangan nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei. "Malaysia hanya ada Chong Wei tetapi tidak mempunyai barisan skuad yang seimbang dan kemungkinan kami mendahului mereka secara 51-49 peratus," katanya ketika tiba bersama skuad Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang hari ini.

Sebaliknya Taufik menyifatkan penyandang juara iaitu China sebagai pencabar terbesar Indonesia, memandangkan negara itu mempunyai barisan pemain yang kuat di samping menunjukkan prestasi yang konsisten.

"Walaupun begitu, saya tetap merasakan semua pasukan mempunyai peluang nanti," katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu mewakili Indonesia ke kejohanan Piala Thomas sebanyak enam kali sebelum ini dan membantu Indonesia membawa pulang piala pada tahun 2000 dan 2002.

Indonesia menjulang Piala Thomas sebanyak 13 kali sejak kejohanan diperkenalkan pada 1949.

Selain Taufik, pasukan Indonesia turut dibarisi pemain perseorangan Sony Dwi Koncoro dan Simon Santoso manakala pemain beregu diwakili Markis Kido-Hendra Setiawan dan Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan