suria

Chong Wei Jadi Duta Samsung

Lee bersama salah satu produk televisyen LED Samsung selepas menandatangani perlantikan sebagai duta Samsung di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini. - Foto THE STAR/ S.S.KANESAN
Lee bersama salah satu produk televisyen LED Samsung selepas menandatangani perlantikan sebagai duta Samsung di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini. - Foto THE STAR/ S.S.KANESAN
Lee bersama salah satu produk televisyen LED Samsung selepas menandatangani perlantikan sebagai duta Samsung di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini. - Foto THE STAR/ S.S.KANESAN

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Eletronik (SME) Sdn. Bhd hari ini melantik jaguh badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei sebagai duta produk syarikat gergasi elektronik itu sehingga Mei 2011.

Menurut Pengarah Pemasaran SME, Jimmy Tan, keghairahan Chong Wei untuk mengharungi setiap cabaran sehingga mengangkat namanya di mata dunia menyebabkan beliau terpilih untuk menjadi duta syarikat elektronik Korea Selatan itu.

"Kami tidak pernah berhenti dan begitu ghairah untuk membawa dimensi baru dalam dunia digital kepada pengguna. Keghairahan juga dapat dilihat dalam diri Chong Wei. Dia sentiasa optimis dan menyifatkan tiada apa yang mustahil," kata Jimmy pada sidang media majlis pelantikan Lee itu di sini hari ini.

Jimmy menyifatkan Lee adalah pilihan tepat untuk mewakili Samsung memandangkan dia aktif dalam aktiviti sukan dan tanggungjawab sosial korporat syarikat itu sejak tahun 2008.

Anak kelahiran Pulau Mutiara itu turut mewakili Samsung sebagai pembawa obor Olimpik di Beijing, dua tahun lalu.

Pada masa sama, Samsung juga mengumumkan pelantikan syarikat itu sebagai penaja rasmi paparan untuk Kejohanan Piala Thomas dan Uber 2010.

Mengulas mengenai persiapan terakhirnya menjelang kejohanan berprestij dunia itu, Lee menegaskan segalanya berjalan dengan lancar.

"Sekarang ini bukan lagi tumpuan kepada persiapan fizikal atau skil tetapi fokus. Tinggal dua hari saja sebelum kejohanan pembukaan. Kejohanan ini melibatkan semangat berpasukan dan bukannya individu jadi saya akan pastikan semangat sepasukan wujud di kalangan semua pemain," katanya.

Walaupun dia telah dimaklumkan bahawa jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, akan kembali menyertai skuad badminton negara, Ahad ini, atlet berusia 28 tahun itu tidak mahu konsentrasinya terjejas kerana dia ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Baginya, perlawanan di tempat sendiri memberi kelebihan kepada dirinya dan skuad badminton negara.

Pada perlawanan penting itu kelak, Lee menyifatkan Lin Dan sebagai pencabar utamanya.

Namun, dia yakin mampu menyekat kemaraan jaguh dari China itu kerana berdasarkan rekod perlawanan di Malaysia dia tidak pernah tewas kepada seteru utamanya itu di depan penyokong sendiri setakat ini.

"Lin Dan adalah pesaing utama saya. Saya akan melakukan yang terbaik dan perlawanan di tempat sendiri sedikit sebanyak melonjakkan semangat saya," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, pihaknya menetapkan sasaran bagi skuad negara untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.

"Saya yakin mereka akan memberi saingan sengit berbekalkan semangat juang yang tinggi dan cuba berusaha keras untuk melangkah ke pusingan akhir," katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiket pada perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir hampir 90 peratus terjual.

"Jika kita berjaya mara ke pusingan akhir, mungkin kehadiran penonton ke Stadium Putra Bukit Jalil lebih menggalakkan," katanya.

Bagi sesiapa yang berminat dan masih belum membeli tiket pada kejohanan itu, sila layari www.ticketpro.com.my.

Artikel Berikut

Artikel Lain