KBS Tangguh Bina Velodrom Di Dungun

Diterbitkan: Sabtu, 30 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguhkan sementara cadangan untuk membina sebuah velodrom di Dungun sebagai menghargai jasa pelumba basikal negara Azizulhasni Awang berikutan bantahan penduduk setempat.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata bantahan penduduk terhadap pembinaan velodrom itu di sebuah kawasan lapang di Sura sesungguhnya amat mengejutkan beliau kerana ia dibina sebagai penghormatan kepada daerah Dungun yang menjadi tanah kelahiran jaguh lumba basikal dunia itu.

"Saya dapat maklumat mengatakan penduduk di tempat berkenaan tidak setuju dengan pembinaan velodrom itu kerana menganggap bahawa kita akan ambil tanah yang berkenaan dan mengganggu tempat anak muda beriadah.

"Bagi kami projek ini sebenarnya adalah satu anugerah yang patut dihargai oleh penduduk setempat terutamanya daerah Dungun kerana jika ia diletakkan di mana-mana tempat di negara kita, ia akan dialu-alukan oleh penduduk tersebut kerana ia satu anugerah.

"Saya sendiri mencadangkan supaya bukan sahaja dibina velodrom tetapi kemudahan sukan yang lain seperti futsal dan ia sepatutnya dilihat sebagai tempat yang sepatutnya menjadi impian bagi penduduk setempat... saya terkejut ia dibantah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis Umno Juara Rakyat peringkat Parlimen Kemaman yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.

Ahmad Shabery pada tahun lepas pernah mengumumkan akan membina sebuah velodrom di daerah Dungun sebagai menghargai jasa Azizulhasni yang telah banyak mengharumkan nama negara di peringkat dunia dalam sukan lumba basikal.

Katanya selain itu, pembinaan velodrom itu juga adalah untuk kemudahan anak-anak muda di daerah itu serta negeri ini yang meminati sukan lumba basikal di samping dapat mencungkil bakat baru dalam sukan itu.

"Sebab itu kita telah berjanji dengan Azizulhasni untuk membina sebuah velodrom dan saya juga berjanji jika beliau mendapat emas di Sukan Olimpik nanti, velodrom itu akan dinamakan atas nama beliau.

"Sebuah galeri juga akan dibina untuk Azizulhasni mempamerkan jersinya, pingat yang dimenanginya, kasut, basikal dan sebagainya. Sepatutnya ia menjadi kebanggaan orang Dungun kerana pencapaian luar biasa seorang anak kampung...tetapi malangnya ia tidak dipandang begitu oleh penduduk yang berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pejabat tanah Dungun dan pihak yang berkenaan untuk berunding perkara itu dengan penduduk yang terlibat.

Ahmad Shabery berkata beliau tidak mahu projek tersebut dilaksanakan secara terburu-buru kerana sebarang projek pembinaan yang dilakukan adalah untuk rakyat.

"Saya tidak mahu projek yang dijalankan oleh kerajaan bertentangan dengan rakyat. Saya akan serahkan kepada pejabat tanah atau pihak berkuasa di Dungun untuk teruskan projek itu di tempat berkenaan atau tempat lain di daerah Dungun.

"Kalau tidak saya akan fikirkan tempat lain... sudah tentu banyak pihak lain yang mengalu-alukan projek ini dibuat di tempat mereka," katanya.

Azizulhasni, 22, yang telah menamatkan zaman bujangnya hari ini dengan pasangannya Athiah Ilyana Abdul Samat, 24, memenangi pingat emas dalam acara keirin Piala Dunia Trek UCI Klasik Beijing, minggu lepas. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan