Chong Wei, Wei Feng Dan Mew Cchoo Melangkah Ke Pusingan Kedua - Sukan | mStar

Chong Wei, Wei Feng Dan Mew Cchoo Melangkah Ke Pusingan Kedua

Diterbitkan: Rabu, 20 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memulakan kempen memburu kejuaraan keenamnya dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia dengan mencatatkan kemenangan mudah mengatasi lawannya dari England Rajiv Ouseph pada pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.

Chong Wei, pemenang pingat Perak di Sukan Olimpik Beijing yang masih segar dengan gelaran juara Terbuka Korea Ahad lepas, menang dengan keputusan straight set 21-14 dan 21-4. "Saya bermain dengan baik malam ini walaupun lawan saya kurang memberikan saingan. Tetapi saya jangkakan perlawanan pusingan kedua menentang pemain China, Du Pengyu sengit. Saya pernah mengalahkannya dua kali di Terbuka China dan Hong Kong tahun lepas, Saya tahu corak dan gaya permainannya," katanya.

Tanpa kehadiran tiga pesaing utamanya, Lin Dan dari China dan dua pemain dari Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dan Simon Santoso, laluannya untuk menjuarai kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia buat kali keenam dianggap mudah selepas memenanginya pada tahun 2004, 2005, 2006, 2008 dan 2009.

Seorang lagi pemain negara Chong Wei Feng turut melangkah ke pusingan kedua selepas menumpaskan pemain dari Perancis Brice Leverdez 21-19, 21-17.

Bagaimanapun empat lagi pemain perseorangan lelaki negara kecundang kepada lawan masing-masing, mereka ialah Muhammad Hafiz Hashim, Wong Choong Hann, Chan Beng Kwong dan Tan Chun Seang.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita utama negara, Wong Mew Choo berjaya melepasi halangan pertamanya selepas menewaskan pemain dari Indonesia Linda Weni Fanerti 22-20, 21-14.

"Set pertama agak sukar. Walaupun berjaya mengutip mata demi mata dan pada satu ketika mendahuluinya namun keadaan berubah apabila Linda bermain secara agresif dan berjaya mengejar kedudukan mata."

"Ia membuatkan saya gugup dan gementar. Bagaimanapun, saya berjaya mengatasinya dan mengawal perasaan saya di saat-saat genting yang membantu saya untuk memenangi set pertama," katanya.

Mew Choo, 26, yang diletakkan sebagai pemain bukan pilihan berkata pada set kedua beliau bertambah yakin dan berjaya menguasai set itu untuk melayakan diri ke pusingan kedua.

Pada pusingan kedua, Mew Choo akan menentang pemain dari Korea Selatan Sung Ji Hyun yang dijangka sengit.

Bagaimanapun kejayaan Mew Choo gagal dituruti lima lagi pemain perseorangan wanita negara apabila tumpas kepada lawan masing-masing hari ini.

Mereka ialah Julia Wong Pei Xian, Tee Jing Yi, Yang Li Lian, Kaur Anita Raj, dan Lydia Cheah Li Ya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan