suria

Khairulnizam Muncul Pendahulu Kejohanan Pelayaran Di Australia

LANGKAWI: Pelayar elit kebangsaan, Khairulnizam Mohd Afendy, berjaya memperbaiki kedudukannya untuk muncul sebagai pendahulu keseluruhan setelah menamatkan empat perlumbaan dalam kategori Laser Radial pada Kejohanan Pelayaran Kebangsaan Australia, yang sedang berlangsung di Adelaide, Australia.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah menerusi e-mailnya kepada Bernama hari ini berkata, dalam usia muda Khairulnizam,16, mula memperlihatkan kemahiran sebagai pelayar terbaik selepas menamatkan empat perlumbaan dengan mengumpul 12 mata mengatasi 94 pelayar lain.

Pada hari pertama Khairulnizam menduduki tangga ke-4 keseluruhan.

Rakan sepasukannya, Mohd Romzi Muhamad yang sebelum ini berada di tempat kesembilan turut cemerlang dengan memperbaiki kedudukan naik ke tempat keempat.

Bagi kategori Laser Standard, Harrithammry Nassution menduduki tempat ke-15 dengan mengutip 71 mata manakala Nik Ashraf Nik Azizan ditangga ke-22 mengumpul 81 mata selepas menghabiskan empat perlumbaan.

Pelayar pelapis kebangsaan, Khairunisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohamad Sayed pula menduduki tangga ke-13 kategori International 420 keseluruhan selepas tiga perlumbaan, manakala bagi kategori remaja gandingan kedua-dua pelayar itu di tangga kedua.

Seramai 94 pelayar dari tujuh negara antaranya Perancis, Singapura, New Zealand, Malaysia dan Australia menyertai kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain