suria

Empat Kementerian Bincang Kaedah Cari Pelapis Atlet Negara

KUALA LIPIS: Empat kementerian akan berbincang dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah mencungkil bakat pelapis atlet negara, kata Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Menurutnya, KBS bersama Kementerian Pelajaran, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pengajian Tinggi akan duduk semeja mencari penyelesaian berkenaan kerana pencarian atlet pelapis adalah isu besar yang memerlukan penglibatan keempat-empat kementerian berkenaan.

"Terdapat lompang yang begitu besar yang perlu diisi segera dalam proses melahirkan bakat-bakat atlet muda untuk diketengahkan dan seterusnya mampu bersaing di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Majlis Belia Negeri Pahang ke-20/2009 di sini, semalam.

Beliau berkata, terdapat cabaran dalam mengenal pasti bakat-bakat pelapis di peringkat sekolah rendah kerana ketiadaan guru khusus untuk melatih dan mengenal pasti bakat-bakat sukan yang dimiliki murid sekolah rendah.

Bagi mengatasi masalah itu, guru-guru sukan sekolah rendah dan menengah perlu diberikan program kejurulatihan sukan dan sains sukan oleh persatuan dan badan-badan sukan.

"Melalui program sedemikian, guru-guru berkenaan dapat menerapkan segala kemahiran dan latihan sukan yang betul kepada murid-murid sekolah terutamanya di peringkat sekolah rendah," katanya.

Ahmad Shabery berkata, walaupun ada sekolah sukan tetapi tidak mencukupi untuk menampung permintaan dan keperluan kerana setakat ini hanya ada dua buah sekolah sukan sahaja iaitu di Bukit Jalil dan Johor Bahru.

Beliau berharap kerajaan negeri dapat membina sekolah sukan di negeri masing-masing bagi membantu melahirkan bakat-bakat sukan yang mampu mengharumkan nama negara satu masa nanti.

Selain itu katanya, usaha mencari dan mencungkil bakat cilik menerusi kem "Little Champ" bagi kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 11 tahun juga perlu diteruskan di sekolah-sekolah di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain