suria

Atlet elit Paralimpik jalani latihan berkala di MSN

KUALA LUMPUR: Atlet elit paralimpik negara yang akan beraksi di temasya Sukan Para Asean Kelima (KL'09) di sini Ogos depan, kini sedang giat menjalani latihan secara berkala di Majlis Sukan Negara (MSN), kata Pengarah Cawangan Paralimpik MSN, Mohd Safrushahar Yusoff.

Antara yang sedang menjalani latihan sempena KL'09 dari 15 hingga 19 Ogos itu ialah daripada acara olahraga, renang dan powerlifting, katanya.

"Ada di antara atlet elit paralimpik sudah memulakan latihan di sini sejak Januari lepas dan ia diadakan secara berkala di sini (MSN).

"Terdapat juga di antara atlet elit paralimpik ini yang menjalani latihan di pusat latihan negeri masingmasing sebelum dipanggil untuk menjalani latihan di MSN," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi atlet pelayaran pula, Mohd Safrushahar berkata pusat latihan mereka akan dipindahkan ke Admiral Marina & Leisure Club di Port Dickson mulai Julai ini daripada Lumut, Perak, lokasi latihan mereka sejak April lepas.

Beberapa sukan lain seperti bola tampar duduk dan bola keranjang berkerusi roda juga akan memulakan latihan pada Julai, katanya.

Mohd Safrushahar berkata satu kem latihan pusat bagi menghadapi KL'09 akan diadakan seminggu sebelum temasya sukan itu iaitu daripada 8 hingga 12 Ogos depan.

Malaysia akan menghantar kontinjen seramai 258 atlet ke temasya sukan yang mempertandingkan 11 acara iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, powerlifting, catur, boling, pelayaran, tenis berkerusi roda, bola keranjang berkerusi roda dan bola tampar duduk.

Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar atlet orang kurang upaya buat kali kedua selepas menganjurkannya pada 2001.

Pada edisi keempat temasya berkenaan di Korat, Thailand tahun lepas, kontinjen Malaysia yang terdiri daripada seramai 180 atlet menduduki tempat kedua keseluruhan dengan meraih 82 emas, 74 perak dan 46 gangsa. BERNAMA

Artikel Lain