suria

Pelakon ‘Polis Evo 2’ sertai kempen anti cetak rompak GSC Helpline

Pelakon 'Polis Evo 2', dari kiri; Shaheizy Sam, Hasnul Rahmat dan Zizan Razak menyokong kempen anti cetak rompak diperkenalkan GSC. FOTO: Shaari Che Mat

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali Golden Screen Cinemas (GSC) melancarkan GSC Helpline yang bertujuan mencegah cetak rompak dengan menyediakan kemudahan talian secara terus kepada pekerja di panggung tersebut. 

Ketua Pegawai Ekskutif GSC Sdn Bhd, Koh Mei Lee berkata dengan adanya talian ‘Helpline’ ini pelanggan lebih mudah untuk melaporkan sebarang aktiviti seperti merakam secara haram sesebuah filem yang sedang ditayangkan.

“GSC berusaha untuk menyediakan pengalaman sinematik kepada pelanggan tapi ia akan rosak sekiranya ada berlaku aktiviti merakam secara haram dan peribadi.

“Apabila anda merakam dan berkongsi klip rakaman filem tersebut di laman sosial, walaupun hanya sedikit sedutan, ia boleh merosakkan pengalaman penonton lain yang ingin menikmati filem itu.

Polis Evo 2

Antara mereka yang terlibat mempromosikan GSC Helpline.

“Selain itu, rakaman-rakaman tersebut adalah  satu kelakuan yang menyalahi undang-undang dalam hak cipta sesebuah filem itu di mana boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kemudahan telefon Helpline yang kami lancarkan ini diletakkan di luar panggung wayang untuk membantu pelanggan melaporkan segala aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya kepada mStar Online.

Kempen anti cetak rompak ini turut mendapat kerjasama Astro Shaw dan barisan pelakon filem Polis Evo 2 iaitu Shaheizy Sam, Zizan Razak dan Hasbulla Rahmat yang dilancarkan di GSC Pavilion, di sini pada Rabu.

Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan kemudahan tersebut itu untuk menghubungi pekerja panggung bagi melaporkan apa sahaja masalah teknikal yang terjadi ketika berada di dalam panggung.

“Kami harap dengan kerjasama dengan pihak Astro Shaw, kempen ini akan memberi kesedaran kepada pelanggan untuk merakam sesuatu filem secara haram,” ujarnya.

GSC

Artikel Lain