Fernandes Sasar Capai Pelan AirAsia Menjelang 2019

Diterbitkan: Ahad, 23 Julai 2017 2:30 PM

(Ubah saiz teks)

DAVAO: Selepas berjaya meletakkan AirAsia bertapak kukuh dalam pasaran penerbangan Asia sejak 16 tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes kini berhasrat untuk menggabungkan unit-unit syarikat penerbangan tambang rendah itu di Asia Tenggara di bawah sebuah syarikat induk yang tersenarai.

Pelan 'One AirAsia' itu berhasrat menyatukan kesemua unit di Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia dan seterusnya disenarai, dalam masa dua tahun.

“Langkah pertama adalah untuk membentuk syarikat kumpulan itu yang sedang diusahakan secara gigih oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rozman Omar. Banyak kerja yang perlu dilakukan 'One AirAsia' dari segi struktur korporat. Namun, 'One Air Asia' sebagai syarikat dalam satu syarikat sememangnya berjalan lancar.

"Kami dapat mengurangkan kos, menggabungkan banyak perkhidmatan manakala banyak produk dapat diseragamkan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu selepas mengumumkan perkhidmatan penerbangan terus AirAsia dari Kuala Lumpur ke Davao yang akan bermula 21 Disember ini.

Mengulas selanjutnya, Fernandes mengakui langkah penstrukturan korporat itu memerlukan banyak usaha kerana syarikat perlu 'memujuk' kerajaan Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia untuk meminda peraturan pemilikan dan ia kini mula menampakkan hasil.

"Harapan itu ada. Sebelum ini saya fikir ia sukar dilaksanakan, tetapi kini saya katakan bahawa harapan itu ada," katanya.

Ditanya tarikh 'One AirAsia' itu dapat menjadi kenyataan, Fernandes berkata : "Sasaran saya dua tahun. Namun, ini memerlukan AirAsia untuk melaksanakan apa yang belum pernah dilakukan pihak lain."

Bagi membolehkan penubuhan sebuah syarikat induk, AirAsia perlu menyenaraikan unitnya di Filipina dan Indonesia. Setakat ini, hanya unit di Malaysia dan Thailand yang tersenarai.

Mengulas perkembangan penyenaraian unit di Filipina, beliau berkata : "Ia berjalan sebagaimana  dirancangkan. Rozman mengendalikan perkara itu baik bagi Indonesia mahu pun Filipina. Kami sendiri amat yakin dengan kedua-duanya...perniagaan di Indonesia dan Filipina amat kukuh untuk kami. Sekarang adalah masa yang paling tepat." 

Fernandes menyasarkan unit di Filipina dapat melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun ini atau suku pertama tahun depan dan sekarang merupakan tempoh paling sesuai sejajar dengan pendirian dasar kerajaan Filipina serta pertumbuhan pasaran penerbangan yang lebih terbuka.

Malah, beliau menyifatkan perkhidmatan penerbangan terus Kuala Lumpur-Davao sebagai bukti komitmen AirAsia untuk berkembang dalam pasaran Filipina.

"Hari ini amat bermakna kerana saya suka memulakan laluan penerbangan yang tidak dilakukan oleh mana-mana pihak. Saya gembira dapat menghubungkan mereka yang tidak dapat menikmati kemudahan itu sebelumnya.

Anda akan dapat melihat betapa gembiranya mereka (penumpang) terhadap usaha AirAsia menawarkan pilihan ke Kuala Lumpur. Ini sesuatu yang hebat dan kami mahu terus melakukan perkara sedemikian, mengeratkan sesama kita dan menjadikan Asean sebuah pasaran yang sebenar.

"AirAsia telah diiktiraf sebagai satu jenama ASEAN dan lebih hebat lagi, ia melibatkan sebuah syarikat Malaysia. Kami akan tetap meneruskan perjalanan itu dan ke mana haluannya, saya sendiri tidak pasti. Namun, saya saksikan ramai penduduk sekitar Asean yang sukakan AirAsia. Hari ini misalnya, amat bermakna apabila dapat melihat mereka menghargai usaha kami...ini permulaan yang baik," katanya.

Ditanya mengenai rancangan AirAsia menambah pesawat seiring pengembangannya, beliau berkata : "Hampir setiap hari kami berbincang dengan Airbus untuk membeli lebih banyak pesawat. Kami tidak miliki banyak pesawat dan sudah mula menyewa. Bagi saya, sekarang adalah masa terbaik untuk AirAsia dan kami pasti mengubah jumlah (pesawat) itu."

Mengulas penghantaran pesawat baharu, beliau berkata AirAsia membeli 14 lagi pesawat dan akan menerima 29 lagi pesawat pada tahun ini.

Bagi pengembangan perkhidmatan penerbangan jarak jauh, Fernandes berkata AirAsia X Bhd juga perlu meningkatkan bilangan pesawat dan akan mengumumkan beberapa destinasi penerbangan apabila ia dimuktamadkan.

Biarpun London tiada dalam senarai itu, namun Fernandes berharap laluan ke Los Angeles dapat dimulakan pada tahun depan selepas Hawaii.

"Kami kekurangan pesawat pada masa ini dan perlu menunggu," katanya.

Ditanya sama ada AirAsia berhasrat menembusi pasaran Asia Tengah, beliau berkata "AirAsia berhasrat ke mana-mana pun. Asia Tengah misalnya memiliki banyak negara dengan sejarah tersendiri dan kami pasti akan ke sana pada satu hari nanti." -- Bernama



Tags / Kata Kunci: AirAsia , Tony

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan