suria

ACCA Masra 2016: Sime Darby Rangkul Anugerah Laporan Terbaik Keseluruhan

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz (dua, kanan) bergambar bersama Ketua Kewangan Sime Darby, Mustamir Mohamad (dua, kiri), wakil syarikat yang mendapat tempat pertama dalam '2016 ACCA Malaysia Sustainability Reporting Awards (Masra)' di Pusat Konvensyen Sime Darby, Selasa. Turut hadir Presiden ACCA Malaysia Advisory Committee, Datuk Dr Lukman Ibrahim (kanan).

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd mengalahkan 49 syarikat lain dan muncul sebagai pemenang bagi 'Anugerah Laporan Terbaik Keseluruhan' di Anugerah Pelaporan Kemapanan Malaysia (ACCA Masra) Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) 2016.

Dalam satu kenyataan hari ini, ACCA berkata laporan Sime Darby paling  menonjol berbanding syarikat lain untuk menjadi pilihan para juri dengan pendekatan bagi inovasi dan jelas menunjukkan bagaimana kemapanan diuruskan di peringkat pengurusan kanan.

Naib johan, Malayan Banking Bhd menggondol 'Anugerah Amalan Tempat Kerja Terbaik' bagi ketelusan komitmen mereka kepada kepelbagaian, kesaksamaan gender, pembangunan kakitangan dan pengekalan wanita dalam tenaga kerja.

Sementara itu, Cenviro Sdn Bhd dan Nets Printwork Sdn Bhd memenangi 'Anugerah Laporan Kemapanan Terbaik' masing-masing di bawah kategori syarikat sendirian berhad dan Perusahaan Kecil Sederhana. 

Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia Datuk Dr Lukman Ibrahim berkata, ACCA sentiasa menggalakkan perbincangan berkenaan laporan kemapanan dan ketelusan korporat sejak 1990an kerana amat percaya kemapanan harus menjadi keutamaan bagi semua perniagaan.

"Melalui program ACCA MaSRA, kami dapat menyaksikan peningkatan dalam bilangan syarikat di Malaysia yang menunjukkan kebertanggungjawapan dan pacuan strategik yang setanding dengan amalan antarabangsa," katanya.

ACCA Masra yang diperkenalkan pada 2002, disasarkan untuk mengenal pasti dan mengiktiraf organisasi yang melaporkan dan mendedahkan sepenuhnya maklumat alam sekitar, sosial dan tadbir urus. 

ACCA berkata kriteria penghakiman pada 2016 adalah sejajar dengan penggabungan keperluan penyenaraian baru di Bursa Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam rangka kerja kemapanan mereka, yang kini memberi mandat kepada syarikat tersenarai awam untuk menerbitkan sebuah laporan kelestarian bersama penyata tahunan mereka. 

"Pindaan kepada keperluan penyenaraian berkuat kuasa secara berperingkat selama tiga tahun, bermula dari 31 Disember 2016 hingga 31 Disember 2018," katanya lagi.-- Bernama

Sime Darby, ACCA Masra

Artikel Lain