suria

King Power Ambil Alih Kepetingan Air Asia Aviation

BANGKOK: King Power Group, yang dimiliki oleh antara lelaki terkaya di Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha, akan membelanjakan 12 bilion Baht lagi (RM1=8.3 Baht) dalam tawaran mandatori untuk mengambil alih baki kepentingan sebanyak 60 peratus dalam Air Asia Aviation (AAV).

King Power, pengendali bebas cukai tunggal di Thailand semalam mengumumkan ia membeli 39 peratus kepentingan dalam AAV, bernilai 7.945 bilion Baht daripada Tassapon Bijleveld dan keluarganya.

AAV merupakan pengendali syarikat penerbangan tambang rendah, Thai AirAsia (TAA) dengan Tassapon sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya.

"TAA dan King Power akan melengkapi antara satu sama lain, menyediakan perkhidmatan dan produk terkini mengatasi yang ditawarkan oleh peserta lain dalam sektor itu.

"Ini akan memacu pertumbuhan TAA dan memastikannya kekal pada barisan hadapan dalam perniagaan syarikat penerbangan tambang rendah," kata Vichai kepada pemberita di sini, Selasa.

Vichai, anaknya Aiyawatt dan Tassapon menemui media di ibu pejabat King Power di Rangnam, Bangkok.

Hartawan bebas cukai itu juga percaya dengan latar belakang perniagaannya dan pengalaman King Power dalam industri pelancongan, kerjasama itu akan memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada perniagaan syarikat penerbangan itu.

King Power turut memiliki juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City Football Club.

Syarikat tersebut akan membeli baki kepentingan sebanyak 60 peratus dalam AAV, disenaraikan di Bursa Saham Thailand (SET), pada 4.20 Baht sesaham dan melantik Siam Commercial Bank sebagai penasihat kewangan bagi tawaran tender.

Sementara itu, Tassapon yang akan kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TAA berkata keputusannya untuk menjual kepentingannya dan keluarganya dalam AAV, merupakan hasil daripada undang-undang dan peraturan yang mengawal perniagaan syarikat penerbangan di Thailand, iaitu sekurang-kurangnya 51 peratus daripada saham dalam pengendali udara perlu dipegang oleh seorang warga Thailand.

"Berdasarkan peraturan sedemikian yang ketat, hanya segelintir individu Thai yang secara realistik berminat dan mampu dengan harga pembelian itu," katanya.

Beliau sebelum ini memegang 44 peratus dalam AAV dan akan terus memegang kepentingan sebanyak lima peratus dalam AAV selepas tawaran tender.

Katanya TAA akan terus berkembang dan melabur seperti dirancang bagi 2016, menerima penghantaran 51 pesawat baharu dan dengan kumpulan pesawat sedia ada, akan membawa kira-kira 17 juta penumpang ke pelbagai destinasi dalam rantau ini.

"Kami mencatat kejayaan dalam tempoh lima tahun lepas dengan bahagian pasaran paling tinggi serta pengembangan dan liputan yang berterusan di Asia.

Kami perlu mengekalkan momentum pertumbuhan sebanyak 20 peratus setahun," kata Tassapon.

Beliau berkata King Power dilihat sebagai rakan kongsi yang dapat membantu syarikat penerbangan itu untuk terus berkembang.

Beliau juga berkata pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, mengetahui mengenai pengambilalihan saham AAV oleh Vichai dan gembira dengan prospek dan peluang perniagaan daripada kerjasama itu.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan oleh King Power dan TAA, Fernandes berkata pelaburan ini membuktikan tawaran nilai TAA kekal tidak terjejas.

"Keyakinan yang datang daripada antara perniagaan keluarga paling berjaya adalah mengagumkan. Potensi kerjasama antara Air Asia dan King Power adalah besar dan kami berharap dapat bekerjasama, bukan hanya di Thailand tetapi seluruh kumpulan dan ASEAN," katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi kenyataan, SET mahu AAV menjelaskan penjualan kepentingan semalam, yang dinafikan oleh syarikat itu dalam kenyataan sebelum ini kepada bursa.

King Power

Artikel Berikut

Artikel Lain