suria

Tanjung Offshore Rancang Pelbagai Sumbangan Hasil

KUALA LUMPUR: Syarikat minyak dan gas Tanjung Offshore Bhd merancang untuk memperluaskan sumbangan hasilnya dengan minyak dan gas menyumbang 70 peratus dan bakinya daripada sektor bukan minyak dan gas dalam lima tahun akan datang, kata Pengerusi Datuk Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan.

Beliau berkata bagi sektor bukan minyak dan gas, syarikat berhasrat untuk menyertai segmen penyelenggaraan, pembangunan dan pembinaan hartanah di samping meneroka peluang dalam pendidikan, aeroangkasa dan pengangkutan.

Sektor minyak dan gas kini menyumbang 100 peratus.

"Minyak dan gas masih menjadi perniagaan teras kami tetapi bagi masa depan, di bawah rancangan mempelbagaikan aktiviti, kami tidak mahu terlalu bergantung kepadanya.

"Kami mula mengubah cabaran ini kepada peluang melalui usaha mempelbagaikan kepada segmen yang menguntungkan. Kami berharap dapat meneroka dan melabur dalam aset murah, termasuk lapangan minyak daratan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini, Jumaat.

Nik Norzrul berkata syarikat kini meninjau aset di Asia Tenggara termasuk  Indonesia, Thailand, Myanmar dan Vietnam serta Australia.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif Tan Sri Tan Kean Soon berkata  Tanjung Offshore sedang berunding dengan beberapa pihak di Eropah dan United Kingdom untuk meneroka, masing-masing ke dalam sektor aeroangkasa dan pendidikan.

Beliau berkata syarikat mempunyai rizab tunai kira-kira RM70 juta.

Syarikat juga mempunyai RM400 juta nilai kontrak dalam tangan dengan  Petronas, katanya.

Artikel Lain