suria

SimplySiti Sasar Jual Dua Juta Produk Jagaan Kulit Wajah 'Luminous White'

KUALA LUMPUR: SimplySiti Sdn Bhd menyasarkan untuk menjual sekurang-kurang 500,000 unit bagi setiap empat produk rangkaian penjagaan kulit wajah 'Luminous White' yang dilancarkan baru-baru ini dalam tempoh setahun.

Rangkaian produk itu terdiri daripada pencuci muka, penyegar, krim muka bagi siang hari dan krim pada sebelah malam, berharga antara M25.90 dan RM41.90 setiap satu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Asyraf Khalid berkata, syarikat turut menyasar untuk menjadikan 'Luminous White' antara jenama penjagaan dan pencerahan kulit wajah terkemuka di negara ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kami akan meningkatkan usaha pemasaran dengan menyertai festival dan menjalinkan kerjasama dengan jenama lain bagi memastikan produk kami mudah didapati dalam pasaran yang luas," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata antara kerjasama itu, SimplySiti menjalin kesepakatan dengan AirAsia Bhd untuk menjual rangkaian produk itu dalam penerbangan, yang akan diumumkan pada September.

Ketika ditanya, Asyraf mengakui syarikat itu mengalami kekurangan bekalan sejak operasi perniagaan bermula memandangkan permintaan pelanggan yang sangat memberangsangkan serta kecurian stok.

"Kami kini menumpukan kepada kaedah untuk memastikan kecukupan bekalan pada masa depan sekaligus syarikat akan terus berkembang," katanya, dengan menambah, syarikat telah menemui penyelesaian teknologi untuk menangani masalah kekurangan bekalan.

Dua tahun akan datang akan menjadi satu tempoh yang menarik bagi syarikat, katanya, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Presiden dan Pengasas, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin berkata SimplySiti merancang untuk menembusi pasaran Indonesia pada 2017.

"Kami kini sedang berunding pihak Indonesia dan ia dilihat positif," katanya, dengan menambah pengumuman lanjut mengenai kerjasama itu akan dibuat tahun depan.

SimplySiti mempunyai 450 outlet di Malaysia termasuk di peruncit utama  Watsons, Guardian, Aeon Wellness dan Sogo, selain mempunyai pasaran di Brunei.

Syarikat itu menawarkan produk yang terdiri daripada alat solek, penjagaan kulit wajah dan minyak wangi yang boleh didapati secara dalam talian melalui www.zalora.com dan www.aladdinstreet.com.my.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain