YTL Power Akan Tambah Pegangan Dalam APCO Kepada 45 Peratus

Diterbitkan: Isnin, 9 Mei 2016 3:56 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR:YTL Power International Bhd akan menambah pegangannya dalam Attarat Power Company (APCO) kepada 45 peratus daripada 30 peratus ketika ini.

Pemegang saham sedia ada APCO, YTL Power, Eesti Energia AS dan Near East Investment (NEI), memeterai perjanjian untuk memperkenalkan pemegang saham baharu, Yudean Group, bagi projek minyak syal 554 MW bernilai AS$2.1 bilion yang sedang dibangunkan oleh APCO di Jordan.

YTL Power dalam satu kenyataan berkata, selepas penambahan pegangan itu selesai, APCO akan dimiliki secara tidak langsung oleh YTL Power (45 peratus), Yudean Group (45 peratus) dan Eesti Energia AS (10 peratus) manakala NEI akan berundur daripada projek tersebut.

Pengarah Eksekutif YTL Power Datuk Yeoh Seok Hong berkata stesen janakuasa berkuasa minyak syal 554 MW itu akan menampung sebahagian besar keperluan tenaga Jordan dan mengurangkan import produk minyaknya bagi penjanaan kuasa. 

"Gabungan pengalaman luas penaja-penaja dalam penjanaan kuasa dan perlombongan akan memastikan projek ini membuahkan hasil, memulakan proses bagi Jordan untuk mencapai kebergantungan tenaga yang kos efektif dan terjamin," katanya.

Stesen jana kuasa itu dijadualkan mula menjana elektrik bagi penggunaan tempatan pada 2019.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: YTL Power , APCO

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan