Khazanah Digesa Lantik Anak Tempatan Terajui Malaysia Airlines

Diterbitkan: Isnin, 25 April 2016 3:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd digesa melantik anak tempatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd (MAB) yang baru menggantikan Christoph R Mueller yang akan melepaskan jawatannya itu berkuat kuasa 16 Sept ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata Mueller memberi alasan peribadi untuk perletakan jawatan beliau sebagai CEO sebelum kontrak tiga tahunnya tamat.

"Alasan yang diberi (Mueller) untuk perletakan jawatan ini adalah atas alasan peribadi. Jadi tak payahlah kita cakap di dewan (Dewan Negara) tentang peribadi ini.

"Tetapi, kalau orang sudah tak nak kerja, tak guna kita paksa," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Negara, pada Isnin.

Johari berkata selaras dengan penstrukturan yang dilaksanakan, lebih sesuai sekiranya CEO baru yang dilantik untuk mengendalikan syarikat penerbangan itu adalah dalam kalangan anak tempatan.

Mueller, yang juga Pengarah Urusan MAB akan melepaskan jawatannya pada September 2016 namun berhasrat untuk terus berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif di syarikat penerbangan nasional itu.

Mueller menyertai Lembaga Pengarah Malaysia Airlines System Bhd sebagai Pengarah Bukan Eksekutif pada 1 Jan, 2015 dan memangku CEO MAB pada 1 Mac, 2015.

Beliau menggantikan Ahmad Jauhari Yahya sebagai Pengarah Urusan dan CEO MAS pada 1 Mei, 2015.

Johari berkata pada masa ini, syarikat penerbangan nasional itu telah melantik Ketua Pegawai Operasi, Peter Bellew, bekas Pengarah Operasi Penerbangan Ryanair sebagai Pengarah Eksekutif MAB.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan