suria

AmBank Unjur Pertumbuhan Pinjaman Lebih Tinggi Tahun Depan

RAWANG: AmBank Group mengunjurkan pinjamannya akan tumbuh lebih kukuh tahun depan dan berpotensi melepasi enam hingga tujuh peratus yang dianggarkan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata bank itu menyelaraskan produk dan perkhidmatannya dan mula memberi tunmpuan ke atas bidang pertumbuhan yang mahu dikembangkan.

"Kami menjangkakan pertumbuhan yang lebih tinggi tahun depan, diperkukuh oleh portfolio pinjaman projek perumahan terpilih dan perusahaan kecil dan sederhana (IKS)," katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian kemudahan perbankan dengan pemaju hartanah, SP Setia Bhd Group, di sini, Isnin.

AmBank meluluskan kemudahan perbankan bernilai RM315 juta dan pinjaman modal kerja RM200 juta kepada SP Setia bagi projek bandar baharunya, Setia Eco Templer, yang dijadual dilancarkan bulan depan.

Sulaiman berkata perniagaan PKS dijangkakan terus berkembang manakala dasar pinjaman perumahan yang lebih ketat oleh Bank Negara Malaysia memberi manfaat kepada mereka yang yang mahu memiliki rumah sendiri.

"Jika kerajaan tidak berbuat demikian, harga rumah pasti meningkat mendadak dan pembeli tulen tidak mampu membeli rumah.

"Berikutan sektor hartanah sudah mula menunjukkan kestabilan, ia membuka peluang kepada pembeli tulen untuk meminjam," katanya.

Sulaiman berkata AmBank juga memberi tumpuan untuk meluaskan perkhidmatan saudagar dan kad cip bagi transaksi tanpa tunai, selain ruang untuk pengurusan kekayaan bagi membolehkan pelanggan memaksiumkan pulangan, seperti pelaburan dalam bon.

Mengenai sama ada ANZ Banking Group akan melupuskan 24 peratus kepentingan dalam AmBank, Sulaiman berkata bank Australia itu dalam usahanya untuk melupuskan kepentingan di Asia, belum mengumumkan rancangannya mengenai Malaysia.

"Buat masa ini, belum ada perubahan," katanya.

Artikel Lain