47 Pengurus Dana Global Dengan AS$11 Trilion AUM Akan Sertai Invest Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 8 April 2016 5:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Invest Malaysia Kuala Lumpur (IMKL 2016) ke-12 yang akan diadakan tidak lama lagi telah mengesahkan penyertaan 47 pengurus dana global dan serantau dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak AS$11 trilion.

Persidangan yang akan diadakan pada 12 dan 13 April di sini, bertujuan mempamerkan pertumbuhan dan daya saing pasaran Malaysia, kata penganjurnya Bursa Malaysia Bhd dan syarikat pembrokeran pelaburan dan sekuriti, Maybank Kim Eng, dalam satu kenyataan bersama Jumaat.

IMKL adalah acara pasaran modal tahunan terbesar di Malaysia yang bertindak sebagai pasaran untuk pengurus dana global mencari akses kepada peluang pelaburan di negara ini.

IMKL 2016 akan memaparkan 55 syarikat senaraian awam, syarikat yang paling boleh dilabur di Malaysa yang menyumbang lebih 50 peratus permodalan pasaran Bursa Malaysia di samping tiga sesi pleno dan menampilkan 25 penceramah terkenal.

Semua 25 pemimpin pemikir global itu akan membincangkan peluang dan hala tuju untuk pemimpin perniagaan dan pengawal selia sebagai respons kepada tiga trend utama yang akan membentuk semula dan mengganggu pasaran an perniagaan, iaitu Perkongsian Trans-Pasifik, Inisiatif Jalur dan Jalan serta Matlamat Pembangunan Mampan, kata mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan persidangan bertemakan 'Malaysia: Mampan pada Teras' itu dan menyampaikan ucapan khas mengenai rancangan dan wawasan Malaysia untuk perniagaan, tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia (CEO) Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, acara itu bertujuan untuk mencetuskan perbincangan yang amat penting kepada perniagaan dan pasaran negara.

"Langkah penting perlu diambil bagi meningkat persekitaran perniagaan yang kondusif untuk syarikat berkembang," katanya.

Sementara itu, CEO Maybank Kim Eng dan Maybank Investment Bank, John Chong berkata, korporat Malaysia perlu bersedia untuk diintegrasi dengan ekonomi dunia, merebut peluang dan menghadapi persaingan pasaran global yang lebih terbuka.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Invest Malaysia , AUM , UMKL

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan